KUALA LUMPUR 13 April - NexG Berhad menegaskan kerugian yang dilaporkan oleh sebuah stesen televisyen terhadap syarikat perlu difahami dalam konteks pelarasan nilai saksama yang diiktiraf sepenuhnya selaras dengan Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia (MFRS).
Kumpulan itu berkata, kerugian itu juga bukan bersifat tunai yang timbul daripada ketidaktentuan berkaitan pemegang saham yang bersifat sementara dan kini telah diselesaikan.
"Yang penting, pelarasan nilai saksama ini telah dimasukkan dalam keputusan kewangan suku ketiga Syarikat, keputusan suku tahunan tersebut telah disemak dan diluluskan oleh Lembaga Pengarah dan keputusan itu kemudiannya diumumkan kepada Bursa Malaysia selaras dengan keperluan penyenaraian.
"Sehubungan itu, perkara ini bukan sesuatu yang baharu dan telah didedahkan sepenuhnya kepada pasaran secara tepat pada masanya dan telus," katanya dalam kenyataan hari ini.
"Dengan struktur pegangan saham yang stabil, prestasi operasi yang kukuh, serta fokus berterusan terhadap pelaksanaan strategi, NexG Berhad kekal yakin terhadap asas jangka panjang dan strategi penciptaan nilainya," tegas kenyataan itu lagi.
Kenyataan itu bagi menjelaskan laporan yang disiarkan Astro AWANI pada 6 April lalu yang menyebabkan timbul persoalan terhadap kedudukan kewangan syarikat, keputusan pelaburan dan amalan tadbir urus.
Pelaran Bersifat Bukan Tunai
Menjelas lanjut, kenyataan itu berkata, pelarasan ini bersifat bukan tunai, dan oleh itu tidak menjejaskan aliran tunai atau kecairan operasi syarikat.
Tambahnya, pelarasan itu sebahagian daripada proses perakaunan. Oleh itu ia mencerminkan pengukuran semula berkala pelaburan berdasarkan metodologi penilaian.
"Ia juga bergantung kepada faktor luaran dan situasi, termasuk sentimen pasaran, pertimbangan kawalan, dan andaian risiko.
"Oleh itu, kerugian tersebut tidak seharusnya ditafsirkan sebagai kerugian direalisasi atau petunjuk kemerosotan prestasi perniagaan asas Syarikat," katanya.

Kenyataan itu berkata, faktor yang menyumbang kepada pergerakan nilai saksama tersebut terutamanya disebabkan oleh ketidaktentuan sementara dalam tempoh kewangan berkaitan, khususnya berkaitan keupayaan Syarikat untuk melaksanakan pengaruh dan hala tuju strategik ke atas pelaburan tersebut.
Dalam tempoh ini katanya, tindakan tertentu pemegang saham telah mewujudkan kekangan terhadap proses membuat keputusan dan kejelasan tadbir urus di peringkat pelaburan.
Keadaan ini memerlukan penggunaan andaian penilaian yang lebih konservatif, termasuk diskaun bagi ketidaktentuan dan had kawalan.
Justeru, penilaian nilai saksama mencerminkan kedudukan perakaunan yang berhemat dan mematuhi piawaian audit serta pelaporan
"Adalah penting untuk ditegaskan bahawa pelarasan penilaian ini bersifat situasi semasa dan tidak mencerminkan nilai intrinsik jangka panjang pelaburan tersebut," katanya.
Kedudukan Pegangan Saham Stabil
Menurut kenyataan itu lagi keadaan syarikat kini telah stabil sepenuhnya, susulan kemunculan Raya Aviation sebagai pemegang saham terbesar Syarikat.
Katanya, perkembangan ini telah menyelesaikan ketidaktentuan sebelum ini berkaitan penjajaran pemegang saham dan kawalan serta memberikan hala tuju strategik yang lebih jelas serta kestabilan tadbir urus di peringkat Syarikat dan pelaburan.
"Perkembangan ini mengukuhkan keupayaan syarikat untuk melaksanakan pelan jangka panjang dengan lebih kepastian dan kesepaduan
"Lembaga percaya struktur pegangan saham yang stabil ini akan menyokong peningkatan keyakinan dalam kalangan pihak berkepentingan serta memudahkan penciptaan nilai yang lebih konsisten pada masa hadapan," katanya.
Semakan Dalaman
Mengenai “Semakan Dalaman”, kenyataan itu menjelaskan ia tidak berkaitan dengan kerugian nilai saksama, yang telah pun direkodkan dengan betul, disemak oleh Lembaga, dan didedahkan dalam pengumuman suku tahunan kepada Bursa Malaysia.
Sebaliknya, semakan itu dijalankan bagi menilai kesan liputan media negatif terkini serta persepsi pasaran terhadap syarikat.
"Objektifnya adalah untuk menilai implikasi reputasi, kebimbangan pihak berkepentingan, dan tindak balas komunikasi yang sesuai
"Oleh itu, semakan dalaman tersebut harus difahami sebagai langkah proaktif dari segi tadbir urus dan komunikasi, bukannya petunjuk sebarang ketidakaturan dalam pelaporan kewangan syarikat," katanya.
Syarikat ingin menegaskan sepanjang tempoh yang dimaksudkan operasi perniagaan teras kekal berfungsi sepenuhnya tanpa gangguan, ssemua projek utama, termasuk kontrak berterusan dan komitmen penyampaian perkhidmatan, dilaksanakan seperti biasa dan tiada gangguan material terhadap aktiviti penjanaan hasil atau keupayaan operasi Syarikat
"Ini menegaskan daya tahan operasi Syarikat serta perbezaan jelas antara pelarasan perakaunan dan prestasi perniagaan sebenar," kata kenyataan itu.
Komitmen terhadap Tadbir Urus dan Ketelusan
Kenyataan itu menambah, Lembaga Pengarah kekal komited terhadap standard tinggi tadbir urus korporat dan akauntabiliti, pendedahan tepat pada masanya dan telus selaras dengan keperluan Bursa Malaysia dan pihak pengawal selia serta mmemastikan semua pelaporan kewangan memberikan gambaran yang benar dan saksama mengenai kedudukan Syarikat.
"Syarikat akan terus berinteraksi secara konstruktif dengan pemegang saham, pengawal selia dan pihak berkepentingan bagi menangani sebarang pertanyaan serta mengekalkan keyakinan terhadap amalan tadbir urusnya," kata kenyataan itu. - DagangNews.com








