Nestlé Malaysia, JAKIM kukuhkan ekosistem halal hadapi cabaran global | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Nestlé Malaysia, JAKIM kukuhkan ekosistem halal hadapi cabaran global

Kerjasama itu turut menyokong pembangunan usahawan dan bakat muda tempatan dalam ekosistem halal negara

KUALA LUMPUR 5 Mei – Nestlé Malaysia Bhd memperkukuh ketahanan rantaian bekalan halal syarikat itu melalui kepelbagaian sumber bekalan serta pembangunan ekosistem tempatan bagi memastikan pematuhan halal dapat dikekalkan secara konsisten.

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Juan Aranols berkata syarikat itu telah lama bersedia menghadapi sebarang gangguan rantaian bekalan dengan menyediakan sumber alternatif bagi bahan mentah utama.

 

Menurut beliau, pendekatan tersebut membolehkan Nestlé Malaysia terus beroperasi tanpa menjejaskan standard halal walaupun berdepan ketidaktentuan dalam rantaian bekalan global.

 

“Pematuhan halal bukan diukur berdasarkan keuntungan semata-mata, sebaliknya merupakan elemen penting dalam membina kepercayaan pengguna terhadap jenama Nestlé di Malaysia.

 

“Keyakinan pengguna terhadap status halal produk serta komitmen kami untuk menghasilkan produk di Malaysia, oleh rakyat tempatan menjadi asas kepada strategi syarikat,” katanya.

 

Dalam pada itu, Nestlé Malaysia memaklumkan kerjasama bersama JAKIM melalui inisiatif Synergy Halal Nestlé Malaysia yang menjadi sebahagian daripada usaha memperkukuh ekosistem halal negara.

 

Kerjasama tersebut turut merangkumi pembangunan industri, pendidikan serta pengukuhan keupayaan rantaian bekalan halal tempatan selain menyokong pembangunan usahawan dan bakat muda.

 

Nestlé Malaysia turut menegaskan komitmen mereka dalam memastikan seluruh rantaian nilai, termasuk fasiliti pengilangan dan komuniti berkaitan, mematuhi piawaian halal yang ditetapkan.

 

Sementara itu, Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JAKIM, Muhyidin Aziz @ Saari berkata pembangunan ekosistem halal yang mantap dan diyakini memerlukan kerjasama berterusan antara pihak berkuasa, pemain industri serta masyarakat secara keseluruhan.

 

“Usaha seperti yang dilaksanakan oleh Nestlé Malaysia menunjukkan bagaimana sektor industri boleh memainkan peranan penting dalam memperkukuh standard halal serta meningkatkan keupayaan ekosistem sedia ada.

 

“Pendekatan seumpama ini turut menyokong usaha negara dalam memperluas impak positif industri halal, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai peneraju hab halal global,” katanya. – BERNAMA