Nestcon raih kontrak RM355 juta daripada Inter Sky Development bina dua blok apartment di Taman Wahyu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Nestcon raih kontrak RM355 juta daripada Inter Sky Development bina dua blok apartment di Taman Wahyu

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 18 Nov – Nestcon Berhad melalui anak syarikat milik penuhnya, Nestcon Builders Sdn. Bhd. (NBSB) menerima kontrak daripada Inter Sky Development Sdn. Bhd. (ISDSB) bagi projek pembinaan dua blok apartment servis di Taman Wahyu.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Nestcon berkata, nilai kontrak bagi projek apartment setinggi 57 tingkat itu adalah RM355 juta, dengan tarikh mula projek pada 15 November 2025. 

 

“Tempoh siap keseluruhan projek dijangka mengambil masa 34 bulan, dengan tarikh siap dijangka pada 14 September 2028. 

 

“Tempoh tanggungjawab kecacatan (defect liability period) ditetapkan selama 27 bulan dari tarikh siap projek,” kata Nestcon dalam makluman tersebut.

 

Projek ini dijangka menyumbang secara positif kepada aset bersih dan pendapatan per saham serta nisbah kewangan syarikat sepanjang tempoh pelaksanaan. 

 

Nestcon menyatakan tiada risiko luar biasa yang dijangka selain risiko operasi biasa dan akan mengambil langkah-langkah yang perlu untuk mengurangkan sebarang risiko yang mungkin timbul.

 

“Penerimaan LOA ini tidak memerlukan kelulusan daripada pemegang saham atau pihak berkuasa. 

 

“Tiada pengarah atau pemegang saham utama Nestcon mempunyai kepentingan, sama ada secara langsung atau tidak langsung, dalam LOA atau projek ini,” katanya.

 

Lembaga pengarah Nestcon menegaskan bahawa projek ini adalah sebahagian daripada aktiviti perniagaan biasa syarikat dan penerimaan LOA adalah dalam kepentingan terbaik syarikat. - DagangNews.com