Nestcon beli 3 bidang tanah RM95 juta di Iskandar Puteri rancang projek bercampur GDV RM1.4 bilion | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Nestcon beli 3 bidang tanah RM95 juta di Iskandar Puteri rancang projek bercampur GDV RM1.4 bilion

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 10 AprilNestcon Berhad membeli tiga bidang tanah di Mukim Pulai, Daerah Johor Bahru, Johor dalam kawasan Iskandar Puteri dengan nilai pertimbangan tunai sebanyak RM95 juta. 


Menerusi makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, urus niaga pembelian tersebut dilakukan melalui anak syarikat tidak langsung milik 70% syarikat tersebut, Nestcon Iskandar Puteri Sdn Bhd.


Katanya, subsidiari tersebut memeterai perjanjian jual beli bersyarat dengan KLG Iskandar Puteri Sdn Bhd, melibatkan tanah pegangan bebas dengan keluasan keseluruhan 33,782 meter persegi.


"Kawasan ini yang dikenali sebagai Plot F, Plot G dan Plot H itu terletak di lokasi matang dalam kawasan koridor ekonomi Iskandar Puteri, serta berhampiran dengan Bukit Indah," jelas Nestcon.


Menurut kenyataan kumpulan tersebut, langlah pembelian tanah ini merupakan sebahagian daripada cadangan kepelbagaian perniagaan syarikat itu untuk mula menceburi sektor pembangunan hartanah.


Sebelum ini tambahnya, aktiviti perniagaan utama kumpulan berkenaan lebih tertumpu kepada perkhidmatan pembinaan bangunan serta infrastruktur, dan kejuruteraan tenaga boleh diperbaharui.


Di atas tanah tersebut, Nestcon merancang untuk membangunkan projek pembangunan secara bercampur komersial dan kediaman yang merangkumi pembinaan pelbagai apartmen servis dan unit runcit.


"Projek hartanah terbaharu ini akan dilaksanakan dalam dua fasa, dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) bagi keseluruhan adalah mencecah jumlah RM1.37 bilion," kata kumpulan berkenaan.


Fasa pertama projek dijangka pada suku pertama 2027, disusuli fasa kedua pada suku pertama 2028, manakala anggaran jumlah kos pembangunan (GDC) seluruh projek ini adalah sekitar RM1.03 bilion.


Jelas Nestcon, langkah kepelbagaian aktiviti ini diambil bagi mengurangkan kebergantungan kumpulan hanya kepada segmen perniagaan yang sedia ada serta menyediakan sumber pendapatan alternatif. 


Lembaga Pengarah kumpulan berkenaan tambahnya, percaya kepakaran dalaman melalui Nestcon Builders akan membolehkan projek tersebut dapat dilaksanakan secara cekap dan tepat pada masanya.


"Pembelian akan dibiayai melalui kombinasi dana penjanaan dalaman atau pinjaman bank, dan jika tiada sebarang isu, pemerolehan dijangka siap pada separuh kedua tahun ini," katanya. - DagangNews.com