NCIA mengalu-alukan pengenalan Rangka Kerja Insentif Pelaburan Baharu menerusi Belanjawan 2025 | DagangNews Skip to main content

NCIA mengalu-alukan pengenalan Rangka Kerja Insentif Pelaburan Baharu menerusi Belanjawan 2025

Pembinaan Lebuhraya Bertingkat Juru dan Sungai Dua di Pulau Pinang akan dilaksanakan bawah Pelan Pembangunan Rangkaian Lebuhraya (HNDP) 2030.
Oleh Shamsiah Zulkafli

SEBERANG PERAI 21 Okt - Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) mengalu-alukan pengenalan Rangka Kerja Insentif Pelaburan Baharu (NIIF), yang memberi tumpuan kepada aktiviti bernilai tinggi dan limpahan ekonomi kepada rakyat, negara dan pelabur.

 

Ketua Eksekutif NCIA Mohamad Haris Kader Sultan dalam satu kenyataan berkata, enam kerangka berkenaan yang memperlihatkan penubuhan Kluster Ekonomi disesuaikan dengan cadangan nilai berbeza bagi setiap negeri seperti tenaga boleh diperbaharui di Perlis dan Sabah serta industri kimia khusus di Pahang dan Terengganu, akan memacu pertumbuhan di peringkat wilayah.

 

"Insentif cukai berdasarkan limpahan ekonomi yang diperkenalkan merentasi 21 sektor ekonomi di negeri seperti Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak, merupakan langkah penting ke arah menarik lebih banyak pelaburan dan menggalakkan pembangunan wilayah yang saksama terutamanya di kawasan kurang membangun (LDA)," katanya dalam satu kenyataan.

 

Selain itu katanya, NCIA juga mengalu-alukan inisiatif infrastruktur utama, termasuk Lebuhraya Bertingkat Juru dan Sungai Dua di Pulau Pinang, yang dikenal pasti di bawah Pelan Pembangunan Rangkaian Lebuhraya (HNDP) 2030.

 

Jelas beliau, projek itu penting untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di Seberang Perai, menggalakkan pembangunan sosio-ekonomi yang dipertingkatkan bukan sahaja di Pulau Pinang, tetapi juga di Kedah dan Perak. 

 

Mohamad Haris menambah, penubuhan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) di Perak Utara akan memberi impak sosio-ekonomi yang mampu membawa perubahan di seluruh wilayah dan memberi manfaat kepada bahagian selatan Kedah dan Pulau Pinang. 

 

"NCIA juga komited untuk memudahkan pelaburan hijau di KIGIP dengan memupuk ekosistem perindustrian yang kukuh berpaksikan bakat dan inovasi melalui inisiatif NTIC kami," ujarnya.

 

Katanya, komitmen Belanjawan 2025 terhadap ekuiti serantau dan pengagihan manfaat ekonomi yang saksama di semua negeri NCER sejajar dengan misi NCIA untuk meningkatkan komuniti di seluruh wilayah utara. 

 

"NCIA tetap berdedikasi untuk bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan dan negeri serta rakan kongsi sektor swasta untuk memacu inisiatif yang akan memastikan NCER menjadi hab yang berkembang maju untuk inovasi dan pertumbuhan yang mampan. 

 

"Dalam pada usaha melancarkan projek yang meningkatkan ekonomi tempatan dan meningkatkan pendapatan komuniti, NCIA terus komited terhadap aspirasi Malaysia MADANI untuk menjadi negara yang berdaya tahan, inklusif dan berpendapatan tinggi," jelasnya. - DagangNews.com