KUALA LUMPUR 15 Okt - Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) berjaya merealisasikan pelaburan berjumlah RM58.39 bilion serta mencipta hampir 16,000 peluang pekerjaan bagi tempoh Januari sehingga September tahun ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pencapaian itu dimaklumkan semasa beliau mempengerusikan Mesyuarat Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) ke-34, pagi tadi.
"Dalam tempoh tersebut, NCIA turut memudahcara pelaburan-pelaburan berimpak tinggi dan memberi tumpuan dalam membangunkan industri semikonduktor berteknologi tinggi menerusi program APIRC@NTIC dan menerokai potensi projek pelancongan berimpak tinggi yang dipacu oleh pelaburan swasta," katanya dalam hantaran di akaun rasmi Facebook hari ini.
Turut hadir Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri Besar Kedah dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Anwar berkata, mesyuarat turut meneliti fokus strategik NCER di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 antara lain melibatkan industri semikonduktor berteknologi tinggi, pelancongan berimpak tinggi, Taman industri tematik NCER, Pembangunan Zon Khas Ekonomi Tenaga Boleh Baharu dan Zon Ekonomi Sempadan Malaysia-Thailand.
"Penting untuk dipastikan semua perancangan NCER selaras dengan matlamat yang dirancang dalam Rancangan Malaysia Ke-13, Belanjawan 2026 serta dasar-dasar utama lain seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR)," katanya. - DagangNews.com








