KUALA LUMPUR 20 Sept - Kenanga Research mengunjurkan NationGate Holdings Bhd berada di landasan terbaik untuk memanfaatkan peningkatan permintaan pelayan kecerdasan buatan (AI) dalam segmen pengkomputeran data dengan kapasiti pengeluaran berskala bagi memenuhi permintaan pada FY25.
Katanya, pada separuh pertama 2024, kumpulan itu melengkapkan penghantaran 270 unit pelayan AI baharu dengan sasaran untuk mencapai 1,000 unit menjelang akhir tahun.
Firma penyelidikan itu berkata, dengan kapasiti pemasangan 1,000 unit sebulan dan boleh diskalakan sehingga 3,000 unit, kumpulan itu berada pada kedudukan baik untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat pada FY25 di seluruh rantau ini selain peningkatan permintaan daripada pusat data di negara ini.
"Kami mengandaikan kumpulan itu mempunyai kapasiti untuk memasang 1,500 unit sebulan menerusi model pendapatan kami bermula FY25 dan seterusnya," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Kenanga Research berkata, bahagian rangkaian (pemancar optik) dan telekomunikasi (peranti komunikasi tentera), menyumbang sekitar 23% daripada hasil dan ia semakin pulih apabila penhijrahan pelanggan dari China ke Pulau Pinang hampir selesai.
Katanya, kumpulan itu kini mengendalikan jumlah yang lebih tinggi bagi pemancar optik kurang 100G pada FY24, dengan peralihan kepada modul lanjutan hasil dan margin yang lebih tinggi (200G hingga 800G) yang dirancang untuk FY25.
"Hasil 1HFY24 kumpulan itu melonjak 195% kepada RM887 juta, didorong oleh peningkatan lebih sepuluh kali ganda dalam segmen pengkomputeran datanya disumbangkan perniagaan pelayan baharunya.
"Bagaimanapun, pertumbuhan hasil yang kukuh sebahagiannya diimbangi margin keuntungan kasar yang lebih rendah disebabkan campuran hasil yang tidak menggalakkan, kerana perniagaan pelayan baharu membawa margin satu digit yang lebih rendah," katanya.
Firma penyelidikan itu menyukai NationGate kerana pendedahan kepada produk perindustrian dan komersial yang digunakan dalam sektor telekomunikasi, kemudahan sedia da 4IR yang boleh mengambil alih pekerjaan yang lebih kompleks dan perkhidmatan tambah nilai seperti chip-on-board (COB).
"Kami mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) RM2.30 sesaham," katanya. - DagangNews.com








