KUALA LUMPUR 17 April – Timbalan Akaun Negara (Koporat), Nasran Omar dilantik sebagai Akauntan Negara yang baharu, berkuat kuasa 17 April 2026 menggantikan Datuk Zainani Jusoh yang bersara.
Jabatan Akauntan Negara dalam satu kenyataan memaklumkan pelantikan tersebut sekali gus menandakan peralihan kepimpinan tertinggi dalam pengurusan perakaunan sektor awam negara.
Menurut kenyataan itu, surat pelantikan Nasran telah disampaikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar di Putrajaya, semalam.
Nasran merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Universiti Putra Malaysia (UPM) serta memiliki Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Beliau turut memiliki kelayakan profesional sebagai ahli Malaysian Institute of Certified Public Accountants (MICPA), Malaysian Institute of Accountants (MIA) serta Chartered Institute of Public Finance and Accountancy (CPFA) di United Kingdom.
Nasran memulakan kerjaya dalam perkhidmatan awam pada tahun 1994 sebagai penolong pengarah di Bahagian Piawaian Perakaunan Jabatan Akauntan Negara sebelum berkhidmat di pelbagai peringkat kerajaan negeri dan persekutuan.
Sepanjang perkhidmatan, beliau pernah menyandang beberapa jawatan penting termasuk Bendahari Negeri Melaka serta berkhidmat di Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Pendidikan.
Jabatan itu memaklumkan Nasran mempunyai kepakaran luas dalam pengurusan kewangan sektor awam merangkumi operasi perakaunan, pengurusan dana, audit, perakaunan forensik serta penyediaan penyata kewangan kerajaan.
Sebelum ini, beliau merupakan Pengarah Bahagian Perkhidmatan Operasi Pusat dan Agensi yang bertanggungjawab mengurus aliran tunai kerajaan serta penyediaan Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan bagi tempoh 2023 hingga 2025.- DagangNews.com








