KUALA LUMPUR 2 Julai - Penyedia kapal sokongan luar pesisir (OSV) yang berpengkalan di Sarawak, Nam Cheong Limited berjaya meraih kontrak penyewaan bernilai RM204.1 juta untuk tiga buah kapal miliknya.
Syarikat itu dalam satu kenyataan memaklumkan operasi dijadual bermula pada tahun 2025 untuk tempoh sehingga dua tahun, termasuk pilihan lanjutan.
"Kontrak ini melibatkan satu kapal bekalan tunda pengendalian sauh (AHTS) dan dua kapal kru laju.
"Dua daripada kapal tersebut akan disewakan kepada Marine Operations for Environmental Services (SAIL) di Timur Tengah bagi menyokong projek perlindungan alam sekitar pesisir pantai dan sebuah lagi kapal akan disewa oleh kontraktor yang terlibat dalam operasi ladang angin luar pesisir di Jepun," menurut kenyataan itu.
SAIL yang ditubuhkan pada tahun 2022 adalah anak syarikat milik penuh Saudi Investment and Resource Company (SIRC) dan Public Investment Fund (PIF) Arab Saudi.
Syarikat itu memberi tumpuan kepada tindak balas pantas terhadap operasi membersihkan tumpahan minyak dan pemantauan pantai menggunakan teknologi canggih serta amalan terbaik industri.
Nam Cheong berkata, penyertaan dalam projek luar pesisir hijau mencerminkan kekuatan dan fleksibiliti armada dalam menyokong pelbagai aktiviti luar pesisir.
"Peluasan operasi ke Timur Tengah dan Jepun adalah langkah strategik untuk mempelbagaikan pendedahan geografi kumpulan.
"Langkah ini akan memperkukuh daya tahan operasi armada kumpulan, terutamanya dalam persekitaran pasaran yang semakin mencabar serta ketidaktentuan ekonomi global," katanya.
Ketika ini, Nam Cheong memiliki 24 buah kapal di bawah kontrak jangka panjang, mewakili 63 peratus daripada keseluruhan armada.
Kumpulan menyasarkan untuk meningkatkan jumlahnya kepada 70 peratus bagi mengukuhkan pendapatan dan kestabilan operasi syarikat.
Kumpulan turut menyatakan bahawa permintaan terhadap kapal OSV kini meningkat melebihi sektor minyak dan gas tradisional, selaras dengan perubahan dalam campuran tenaga global.
Nam Cheong kini sedang giat mengorak langkah ke dalam sektor tenaga boleh diperbaharui luar pesisir serta perkhidmatan marin berasaskan alam sekitar dan mengekalkan pelanggan utama dalam industri minyak dan gas.
Pendekatan itu dilihat mampu membuka peluang jangka panjang yang lebih luas merentas pelbagai sektor dan lokasi geografi.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Leong Seng Keat berkata, kejayaan meraih kontrak baharu itu akan mengembangkan capaian syarikat ke pelbagai sektor luar pesisir dan pasaran serantau, melangkaui fokus sedia ada dalam minyak dan gas.
Beliau berkata, potensi dalam tenaga boleh diperbaharui luar pesisir dan perkhidmatan marin alam sekitar semakin meningkat dan Nam Cheong akan memanfaatkan armada moden dan canggih untuk mengimbangi sewaan serta mengoptimumkan penggunaan kapal.
"Sasaran untuk meletakkan 70 peratus armada di bawah kontrak jangka panjang bukan sahaja memberikan kestabilan pendapatan, malah membolehkan kumpulan memanfaatkan peluang menarik yang bakal muncul dalam pasaran global," katanya. - DagangNews.com








