Najman Kamaruddin adalah Ketua Pegawai Eksekutif TDM Berhad berkuatkuasa 1 Januari 2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Najman Kamaruddin adalah Ketua Pegawai Eksekutif TDM Berhad berkuatkuasa 1 Januari 2025

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 31 Dis - Anak syarikat Terengganu Inc., TDM Berhad mengumumkan penukaran nama jawatan Najman Kamaruddin daripada Pengarah Eksekutif kepada Ketua Pegawai Eksekutif, berkuatkuasa 1 Januari 2025.

 

"Perubahan ini disebabkan peletakan jawatan secara sukarela kerana beliau dilantik semula sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM Berhad," kata syarikat itu dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Najman, 57, merupakan Pengarah Eksekutif TDM sejak 2020 dan berkhidmat sebagai Pengarah Bebas & Bukan Eksekutif TDM Berhad (2018 hingga 2020).

 

TDM kini menguruskan 13 ladang kelapa sawit seluas 28,531 hektar, bersama dua kilang kelapa sawit, dua loji baja bio-organik, dan dua loji biogas, semuanya terletak di Terengganu.

 

Syarikat itu juga mengendalikan lima hospital pakar di bawah Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (KMI Healthcare) di Kuala Terengganu, Kuantan, Taman Desa, Kelana Jaya dan Tawau.

 

TDM telah berada dalam keadaan `merah' selama dua suku berturut-turut. Syarikat itu mengurangkan kerugian bersihnya kepada RM126,000 pada suku kedua berakhir 30 Jun 2024 (2QFY2024) berbanding RM19.62 juta pada suku yang sama tahun lalu, hasil lebih tinggi daripada kedua-dua bahagian perladangan dan penjagaan kesihatannya. Hasil meningkat 19.7% kepada RM154.67 juta berbanding RM129.26 juta.

 

Setakat ini, saham TDM telah meningkat lebih 30%, sebahagiannya disebabkan sentimen pasaran yang positif dan peningkatan penilaian dalam kalangan perniagaan berkaitan penjagaan kesihatan. - DagangNews.com