KUALA LUMPUR 22 Mei — National Aerospace & Defence Industries (NADI), dan Centre for Technology Excellence Sarawak (CENTEXS) menjalin kerjasama strategik bagi menubuhkan Aerospace Academy Sarawak Sdn Bhd.
Pengumuman itu dibuat sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2025, menandakan komitmen jangka panjang Sarawak ke arah menjadi hab utama latihan pembuatan aeroangkasa dan penyelenggaraan, pembaikan serta baik pulih (MRO) di Malaysia Timur, sebelum diperluas ke seluruh negara.
Kerjasama tersebut dimeterai menerusi majlis penyerahan rasmi Sijil Pemerbadanan oleh Aviation Design Centre kepada Centexs, sekali gus mengesahkan permulaan rasmi perkongsian antara dua pihak.
Kedua-dua pihak telah melatih hampir 100 belia sejak November 2024 di kampus Lundu dan Subang.
Pengarah Urusan Aviation Design Centre, Ezry Bakar Ahmad berkata, kerjasama ini bukan sahaja penting bagi organisasi masing-masing, malah menjadi pencetus kemajuan strategik untuk Sarawak dan Malaysia.
"Kami berhasrat menjadikan Sarawak dan Malaysia sebagai hab serantau dalam pembangunan bakat dan inovasi industri aeroangkasa," katanya dalam satu kenyataan.
Sementara, Ketua Pegawai Eksekutif Centexs, Datuk Syed Mohd Hussein berkata, penubuhan akademi ini membuka peluang luas kepada belia tempatan untuk menceburi bidang bernilai tinggi dan berteknologi tinggi.
"Langkah ini sejajar dengan visi jangka panjang Sarawak dan Malaysia untuk mempelbagaikan ekonomi ke arah industri masa hadapan," katanya.
Inisiatif ini turut menyokong agenda transformasi industri negeri Sarawak dan dijangka memainkan peranan penting dalam mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi serta membangunkan ekosistem aeroangkasa yang mampan di peringkat tempatan.
Aerospace Academy Sarawak bakal menawarkan program latihan berteraskan piawaian industri global, merangkumi kemahiran teknikal terkini dalam pembuatan aeroangkasa dan perkhidmatan MRO, khusus untuk generasi muda di Sarawak dan seluruh Malaysia.
Model perniagaan akademi itu juga berpotensi untuk diperluas secara nasional jika terbukti berjaya dalam pelaksanaan awalnya di Sarawak.- DagangNews.com








