MyDCD rancang penyenaraian di Pasaran ACE perkukuh pengembangan perniagaan pusat data | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MyDCD rancang penyenaraian di Pasaran ACE perkukuh pengembangan perniagaan pusat data

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 21 Jan – MyDCD Bhd, merancang untuk disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia, bagi menyokong pengembangan perniagaan, termasuk pengambilan dan latihan 25 kakitangan baharu dalam pengurusan projek dan kejuruteraan, selain menyewa ruang pejabat tambahan.

 

Penyedia perkhidmatan kejuruteraan yang khusus dalam integrasi sistem mekanikal, elektrikal, paip dan perlindungan kebakaran (MEPF) bagi infrastruktur kritikal seperti pusat data itu namun berkata, harga tawaran awam permulaan (IPO) serta anggaran permodalan pasaran masih belum ditentukan.

 

Berdasarkan draf prospektus yang difailkan dengan Bursa Malaysia, MyDCD bercadang menggunakan dana hasil penyenaraian  yang diperuntukkan bagi modal kerja, naik taraf sistem teknologi maklumat (IT) serta perbelanjaan berkaitan penyenaraian.

 

 

Pada ketika ini, syarikat tempatan berkenaan memiliki sebuah ibu pejabat yang berkeluasan 2,127 meter persegi terletak di Cyberjaya, Selangor dan disokong dengan seramai 47 tenaga dalam bahagian teknikal.

 

Di bawah terbitan awam, MyDCD merancang menerbitkan 89.7 juta saham baharu kepada orang awam Malaysia, 36 juta saham baharu kepada orang yang layak, 50.7 juta saham baharu kepada pelabur melalui penempatan persendirian serta 158.59 juta saham baharu kepada pelabur Bumiputera melalui penempatan persendirian.

 

Tawaran itu turut merangkumi tawaran jualan sebanyak 145 juta saham sedia ada.

 

Kesemua pemegang saham utama MyDCD akan melupuskan sebahagian pegangan masing-masing melalui tawaran jualan tersebut. 

 

Moratorium selama enam bulan dikenakan ke atas pemegang saham terbesar syarikat iaitu Ng Kok Hoong, Yew Kim Keong, Ng Gek Khoon dan Datin Kwan Siew Peng, yang secara kolektif akan memegang 61.16% kepentingan dalam syarikat selepas penyenaraian.

 

Satu lagi kumpulan pemegang saham iaitu Khairil Husni, Ngooi Siew Luan, Hon Mau Hoong dan Wong Yoke Fang, yang memegang 12.08% secara kolektif, turut bersetuju secara sukarela untuk tidak menjual atau memindahkan saham mereka selama tempoh enam bulan.

 

Gek Khoon merupakan pengarah akaun utama, Kwan sebagai pengarah sumber manusia dan kewangan, Hon sebagai pengarah projek dan jualan, manakala Wong ialah pengurus kewangan syarikat.

 

Selepas penyenaraian, pegangan pemegang saham terbesar Kok Hoong akan berkurang daripada 27.49% kepada 20.14%, manakala Khairil Husni, yang kini memiliki 5%, akan menyaksikan pegangan beliau susut kepada 3.66%.

 

MyDCD diperbadankan pada 2025 dan kemudiannya ditukar kepada syarikat awam berhad pada tahun yang sama.

 

Operasi perniagaannya berpunca daripada DCD Technology, yang ditubuhkan pada 2010 dan diambil alih sepenuhnya oleh MyDCD pada November lalu menerusi perjanjian jual beli saham bersyarat.

 

Antara kemenangan kontrak utama syarikat pada 2025 termasuk kontrak bernilai RM184 juta daripada Binastra Builders Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Binastra Corp Bhd, bagi sistem integrasi MEPF untuk pusat data baharu di Cyberjaya. 

 

MyDCD juga terlibat dalam projek pusat data berjenama Huawei dengan nilai kontrak RM20.92 juta.

 

Bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025 (FY2025), MyDCD mencatatkan hasil sebanyak RM372 juta dan keuntungan bersih RM39.5 juta, dengan Binastra Builders menyumbang kira-kira dua pertiga daripada jumlah hasil syarikat bagi tempoh tersebut.

 

Gek Khoon turut memegang 11% kepentingan dalam ITP Cjaya Sdn Bhd, antara lima penyumbang hasil tertinggi MyDCD pada FY2025.

 

TA Securities Holdings Bhd bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi cadangan IPO MyDCD. - DagangNews.com