MyCC mendenda 26 syarikat didakwa kartel tipu bidaan sebanyak RM97.3 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MyCC mendenda 26 syarikat didakwa kartel tipu bidaan sebanyak RM97.3 juta

KUALA LUMPUR 30 Okt — Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mengenakan penalti berjumlah RM97.3 juta terhadap 26 syarikat kerana didakwa terlibat dalam kartel penipuan bidaan (bid-rigging) membabitkan tender bernilai RM540.72 juta.

 

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, MyCC kini turut menyiasat 14 lagi kes seumpama itu yang melibatkan 563 syarikat, berkaitan tender bernilai RM2.7 bilion.

 

Menurut beliau, peningkatan kes yang dikesan adalah hasil tindakan penguatkuasaan MyCC yang dilakukan selama ini.

 

 

 

 

 

 

“Sebab itu, wujud keperluan untuk menambah peruntukan yang telah diluluskan menerusi Belanjawan 2026 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

“Sebahagian peruntukan KPDN disalurkan khusus kepada MyCC untuk memperkukuh kapasiti penguatkuasaan dalam memerangi kartel ini,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Sidang Kemuncak Persaingan MyCC 2025 bertemakan “Memperkukuh Persaingan melalui ‘G’ dalam ESG untuk Masa Depan Mampan” di Petaling Jaya, hari ini.

 

Majlis berkenaan turut menyaksikan pemeteraian dua Memorandum Persefahaman (MoU) antara MyCC dengan Suruhanjaya Persaingan Filipina dan SME Corporation Malaysia, merangkumi kerjasama dalam pertukaran maklumat, advokasi, latihan, penyelidikan serta perkongsian pengalaman dan amalan terbaik.

 

Armizan berkata, MyCC kini perlu melangkah ke fasa seterusnya dengan memperluas penguatkuasaan terhadap kartel penipuan bidaan dalam sektor swasta mulai tahun depan, memandangkan sektor itu turut membekalkan barangan dan perkhidmatan kepada masyarakat.

 

“Setakat ini, fokus lebih kepada tender perolehan kerajaan. Namun pada 2026, kita perlu meneroka usaha memeriksa tender sektor swasta.

 

“Sekiranya kartel dalam sektor swasta tidak dikawal, ia akan menjejaskan pengguna dan merosakkan ekosistem persaingan pasaran yang sihat,” katanya.

 

Dalam usaha mengukuhkan integriti perolehan kerajaan, Armizan memaklumkan KPDN sedang menyelaras pemeteraian Surat Persefahaman (LoU) antara MyCC dan 16 kementerian lain untuk memerangi kartel penipuan bidaan dan memastikan proses perolehan kontrak kerajaan kekal telus dan berdaya saing.

 

Dalam pada itu, beliau berkata, sidang kemuncak tersebut menampilkan sembilan wakil pihak berkuasa persaingan antarabangsa, termasuk daripada Lembaga Persaingan Turki, Suruhanjaya Perdagangan Adil Korea, Suruhanjaya Persaingan Hong Kong dan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).

 

Panel pakar tempatan pula melibatkan wakil dari Kementerian Kewangan, PETRONAS, Khazanah Nasional Berhad, Bursa Malaysia, SME Corporation Malaysia dan Bank Negara Malaysia.

 

 

 

 

 

 

“Perbincangan memberi tumpuan pada dua isu utama, iaitu memerangi kartel  serta meningkatkan tadbir urus dalam urus niaga penggabungan.

 

“Kedua-dua isu ini penting dalam usaha membentuk pasaran yang lebih sihat, mampan dan progresif demi kesejahteraan rakyat,” jelasnya.- BERNAMA