MyCC denda 8 syarikat termasuk Mangkabumi, Pintas Utama hampir RM93 juta tipu bida tender JKR | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MyCC denda 8 syarikat termasuk Mangkabumi, Pintas Utama hampir RM93 juta tipu bida tender JKR

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 28 Feb - Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) telah menjatuhkan hukuman denda kepada lapan syarikat berjumlah hampir RM93 juta atas dakwaan terlibat dalam amalan penipuan bidaan.

 

Syarikat tersebut ialah Dutamesra Bina Sdn Bhd, IDX Multi Resources Sdn Bhd, Mangkabumi Sdn Bhd, Menang Idaman Sdn Bhd, Meranti Budiman Sdn Bhd, Pintas Utama Sdn Bhd, NYL Corporation Sdn Bhd, dan Kiara Kilat Sdn Bhd.

 

 

MyCC berkata ia mengenakan denda ke atas kesemua syarikat itu kerana melanggar Seksyen 4 Akta Persaingan 2010, berhubung dua tender yang dikeluarkan oleh Jabatan Kerja Raya untuk projek Central Spine Road (CSR).



 

iktisad

 

 

Suruhanjaya itu berkata ia melancarkan siasatan rasmi berikutan aduan mengenai penipuan bidaan dalam tender berkaitan Seksyen 3B, 3C, dan 3J Pakej 3 projek itu.

 

“Dalam siasatan, MyCC mendapati syarikat yang sama turut terlibat dalam penipuan bidaan bagi tender projek tebatan banjir Sungai Buloh di Selangor (yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran),” katanya dalam satu kenyataan.

 

Susulan itu MyCC berkata, pihaknya melakukan serbuan, mengumpul bukti, dan menjalankan analisis mendalam terhadap kes itu.

 

Suruhanjaya itu telah mencadangkan agar lapan kontraktor itu didenda pada April tahun lepas dan seterusnya menerima representasi syarikat.

 

Selepas meneliti representasi, MyCC mengeluarkan denda berjumlah RM92,876,078, terhadap lapan syarikat itu pada Khamis.

 

Peranan utama

MyCC berkata siasatannya mendedahkan Mangkabumi Sdn Bhd memainkan peranan utama dalam mendalangi kartel itu, dengan operasi diselaraskan melalui Pintas Utama Sdn Bhd.

 

“Bukti yang diperoleh semasa serbuan MyCC menunjukkan kebanyakan dokumen penting ditemui di premis Pintas Utama,” katanya.

 

MyCC berkata syarikat terbabit dalam penipuan bidaan dengan bertukar maklumat melalui e-mel, mengadakan mesyuarat dan menyediakan dokumen tender di premis Pintas Utama.

 

“Selain itu, MyCC mendapati selepas memenangi tender bagi Seksyen 3B dan 3C projek CSR, IDX Multi Resources Sdn Bhd mensubkontrakkan projek itu kepada Mangkubumi Sdn Bhd.

 

“Begitu juga, Menang Idaman Sdn Bhd, yang memenangi tender untuk Seksyen 3J projek itu juga telah mensubkontrakkannya kepada Mangkubumi Sdn Bhd, yang seterusnya mensubkontrakkan kedua-dua projek itu kepada syarikat yang dikenali sebagai YCH Sdn Bhd,” katanya.

 

Bagi tender projek tebatan banjir Sungai Buloh, IDX Multi Resources Sdn Bhd telah dianugerahkan kontrak itu, tetapi ia mensubkontrakkan projek itu kepada YCH Sdn Bhd. - DagangNews.com