Muhibbah Engineering raih RM74 juta hasil jualan Kapal Bekalan Luar Pesisir ke Asia Tenggara | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Muhibbah Engineering raih RM74 juta hasil jualan Kapal Bekalan Luar Pesisir ke Asia Tenggara

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 17 Dis - Anak syarikat milik penuh Muhibbah Engineering (M) Bhd (MEB), Muhibbah O&G Sdn Bhd (MOGSB), telah menandatangani protokol penghantaran dan penerimaan dengan sebuah syarikat perkhidmatan di Asia Tenggara bagi penjualan satu unit Kapal Bekalan Luar Pesisir (Offshore Supply Vessel) bernilai sekitar AS$18 juta atau RM74 juta.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia syarikat itu berkata, kontrak berkenaan dijangka disiapkan menjelang suku pertama 2026 sekiranya tiada sebarang keadaan tidak dijangka berlaku.

 

Syarikat menegaskan kontrak ini akan memberikan impak positif kepada pendapatan dan aset bersih Kumpulan MEB, tanpa menjejaskan modal saham atau struktur pemilikan syarikat.

 

Menurut MEB, tiada pengarah atau pemegang saham utama serta individu yang berkaitan mempunyai kepentingan langsung atau tidak langsung dalam kontrak tersebut.

 

Lembaga Pengarah MEB menegaskan, selepas meneliti semua faktor berkaitan, kontrak ini adalah dalam kepentingan terbaik Kumpulan MEB, sekaligus memperkukuh kedudukan syarikat dalam sektor perkapalan luar pesisir dan pengembangan perniagaan di rantau Asia Tenggara. - DagangNews.com