KUALA LUMPUR 20 April – Mahkamah Rayuan memutuskan Mudajaya Group Berhad berhak menerima pampasan dalam kes tuntutan terhadap bekas pengurus kanan syarikat, Michael Chua Khian Keng dengan jumlah yang dinaikkan kepada RM72.2 juta berbanding RM43.5 juta yang diputuskan Mahkamah Tinggi sebelum ini.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan pembinaan itu berkata Mahkamah Rayuan memutuskan pihaknya berhak ke atas tuntutan utama yang dipohon, tertakluk kepada potongan bagi sebarang jumlah yang telah berjaya diperoleh semula.
Kes berkenaan berpunca daripada tindakan undang-undang terhadap Chua dan isterinya, Tan Kah Lua, berhubung dakwaan penyelewengan dana yang dikaitkan dengan projek loji janakuasa bernilai RM720 juta yang dianugerahkan pada Jun 2011.
Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Mudajaya dengan kos RM150,000 manakala rayuan yang dikemukakan oleh Chua ditolak dengan kos RM50,000.
Walaupun jumlah pampasan yang diperoleh meningkat, Mudajaya menjelaskan keputusan tersebut tidak dijangka memberi kesan material terhadap pendapatan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026 (FY2026) sehingga jumlah penghakiman, faedah serta kos guaman berjaya dikutip sepenuhnya.
Syarikat itu berkata mereka akan memberikan perkembangan lanjut kepada Bursa Malaysia dari semasa ke semasa sekiranya terdapat perkembangan baharu atau arahan tambahan daripada mahkamah.
Menurut Mudajaya, pertikaian ini bermula pada 2015 selepas satu semakan dalaman dilakukan terhadap kos tambahan yang timbul daripada projek berkenaan yang telah dinyatakan dalam keputusan kewangan suku keempat tahun kewangan 2014.
Hasil siasatan dalaman ketika itu mendapati wujud transaksi tidak teratur yang menyumbang kepada lebihan kos projek, namun syarikat menegaskan isu tersebut adalah terpencil dan hanya melibatkan seorang bekas pekerja serta satu projek sahaja.
Saham Mudajaya ditutup tidak berubah pada 36.5 sen pada Isnin, dengan kumpulan itu kini mempunyai nilai pasaran sekitar RM194 juta, manakala prestasi sahamnya mencatatkan penurunan sebanyak 23.2 peratus dalam tempoh setahun lalu. - DagangNews.com








