KUALA LUMPUR 21 Okt – Persatuan Haulier Malaysia (AMH) menggesa kerajaan khususnya Kementerian Pengangkutan mempercepatkan proses naik taraf teknikal melibatkan Kategori Berat Kenderaan (BGK) bagi memastikan semua pengusaha lori kontena dapat mencapai pematuhan sepenuhnya sebelum penguatkuasaan dasar muatan berlebihan bermula pada 1 Januari 2026.
Setiausaha Eksekutif AMH, Mohamad Azuan Masud berkata, proses naik taraf BGK sepatutnya diselesaikan dalam tempoh 20 hari seperti yang dijanjikan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, namun sebahagian besar ahli persatuan masih berdepan kelewatan melebihi sebulan.
“Kelewatan ini boleh menjejaskan persediaan syarikat pengangkutan untuk mematuhi dasar Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) apabila penguatkuasaan penuh dilaksanakan awal tahun depan.
“Proses teknikal seperti penilaian berat kenderaan dan pengesahan spesifikasi perlu diseragam serta dipermudah bagi mengelakkan gangguan kepada operasi harian pengusaha logistik yang bergantung kepada masa dan ketepatan jadual penghantaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam masa yang sama, persatuan itu turut menyambut baik dan menyatakan sokongan penuh terhadap kenyataan yang dibuat oleh Anthony Loke pada 15 Oktober lalu mengenai cadangan pindaan undang-undang bagi membolehkan pengirim dan penerima barangan (consignor dan consignee) turut dipertanggungjawabkan dalam kesalahan melibatkan muatan berlebihan.
AMH berpandangan, langkah tersebut merupakan satu pendekatan menyeluruh yang mampu meningkatkan tahap akauntabiliti di sepanjang rantaian logistik negara.
“Melalui langkah itu, bukan sahaja pemandu atau pemilik kenderaan, malah pihak pengirim dan penerima juga perlu bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan dan pematuhan undang-undang,” katanya.

Tambahnya, sejak penubuhan AMH, persatuan itu memang menentang sekeras-kerasnya amalan membawa muatan berlebihan kerana tindakan tersebut bukan sahaja membahayakan keselamatan pengguna jalan raya, tetapi turut merosakkan infrastruktur seperti jalan raya dan jambatan yang menelan kos penyelenggaraan tinggi kepada kerajaan.
“Selain itu, tindakan membawa muatan berlebihan juga menyebabkan wujudnya daya saing tidak adil antara pengusaha lori yang mematuhi undang-undang dan mereka yang melanggar peraturan, sekali gus memberi kesan negatif terhadap imej industri logistik negara.
“Persatuan tidak pernah menggalakkan atau menyokong sebarang bentuk amalan muatan berlebihan dalam kalangan ahli kami.
“Malah, persatuan sentiasa menasihatkan pengusaha lori agar mengekalkan standard operasi yang selamat dan beretika bagi memastikan kelangsungan industri pengangkutan negara,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, AMH memuji langkah proaktif Kementerian Pengangkutan dalam memperkenalkan dasar akauntabiliti bersama (shared accountability) di sepanjang rantaian logistik, yang menuntut semua pihak memainkan peranan masing-masing untuk menjamin keselamatan dan kelestarian industri.
“Kami percaya pendekatan baharu ini mampu mewujudkan ekosistem logistik yang lebih bertanggungjawab, mampan serta bebas daripada amalan-amalan yang menjejaskan integriti dan keselamatan pengguna jalan raya.
“AMH juga berharap pihak kementerian dapat memperkukuh saluran komunikasi serta penyelarasan antara agensi seperti JPJ, Lembaga Pelabuhan dan Pihak Berkuasa Tempatan bagi mempercepatkan pelaksanaan dasar muatan berlebihan secara lebih efisien.
“Kami menyeru semua pemain industri logistik agar memberikan kerjasama penuh dengan mematuhi peraturan sedia ada dan bersiap sedia menghadapi penguatkuasaan yang lebih ketat pada tahun hadapan,” katanya.
AMH kekal komited untuk bekerjasama rapat dengan Kementerian Pengangkutan serta agensi-agensi berkaitan bagi memastikan pelaksanaan dasar ini berjalan lancar, sekaligus memperkukuh keselamatan, kecekapan dan daya saing operasi pengangkutan negara. - DagangNews.com








