KUALA LUMPUR 12 Nov – Pengendali perkapalan kontena dan logistik, MTT Shipping and Logistics Bhd bercadang untuk disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia bagi menyokong strategi pengembangan serantau dan pengambilalihan kapal kontena baharu.
Berdasarkan draf prospektus yang difailkan dengan Suruhanjaya Sekuriti, tawaran awam permulaan (IPO) MTT akan melibatkan penerbitan 633.5 juta saham baharu, termasuk 571 juta saham untuk tawaran institusi dan 62.5 juta saham untuk tawaran runcit.
Harga IPO dan nilai pasaran semasa penyenaraian masih belum ditentukan dan tiada saham sedia ada akan ditawarkan. Penyenaraian ini menawarkan pelabur sehingga 25.3% pegangan dalam syarikat.
Syarikat itu berkata, dana daripada penerbitan saham baharu akan digunakan untuk pembelian kapal kontena serta menampung kos berkaitan penyenaraian, sekali gus menyokong strategi kumpulan untuk mengembangkan rangkaian laluan kontena dalam dan luar Asia Tenggara, khususnya ke benua India dan China selatan.
Kumpulan itu merancang untuk memperoleh sekurang-kurangnya 10 kapal kontena dengan pelbagai kapasiti dalam tempoh 36 bulan akan datang.
“Pembiayaan pelaburan ini akan melalui gabungan dana dalaman, pinjaman bank, sukuk wakalah dan hasil IPO,” kata MTT.
MTT Shipping and Logistics menyediakan perkhidmatan pengangkutan kontena, penyewaan kapal, serta penyimpanan kontena dan perkhidmatan berkaitan.
Kumpulan ini kini menguruskan 40 subsidiari, satu entiti dikawal bersama dan lapan syarikat sekutu.
Setakat ini, MTT telah mempunyai komitmen membeli empat kapal baharu iaitu dua kapal dengan gear dan dua kapal tanpa gear dengan kapasiti 1,400 hingga 1,462 TEU, pada kos keseluruhan RM339.5 juta.
Penghantaran kapal tersebut dijadualkan antara Disember 2026 hingga Disember 2027.
Selain itu, kumpulan itu bercadang memperoleh satu kapal 1,400-TEU tambahan pada 2028 untuk menggantikan kapal lama dalam armadanya, termasuk MTT Kuching Dua, MTT Bintulu, MTT Pulau Pinang dan MTT Haiphong, yang mempunyai purata umur 27 tahun.
Selain penggantian kapal lama, MTT Shipping and Logistics juga merancang untuk membeli lima kapal lebih besar, terdiri daripada tiga kapal 3,300-TEU dan dua kapal 9,000-TEU dengan penghantaran dijangka dalam tempoh 18 hingga 36 bulan selepas penyenaraian.
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024, MTT mencatatkan untung bersih RM250.38 juta daripada hasil RM1.20 bilion.
Kumpulan itu menyasarkan nisbah pembayaran dividen sebanyak 40 peratus daripada untung bersih setiap tahun, tertakluk kepada keperluan modal kerja, penyelenggaraan dan perbelanjaan modal.
CIMB Investment Bank Bhd bertindak sebagai penasihat utama, koordinator global bersama, pengurus buku, penjamin utama dan penjamin bersama, manakala CLSA Securities Malaysia Sdn Bhd berperanan sebagai koordinator global bersama dan pengurus buku bagi IPO tersebut. - DagangNews.com








