MTAG beli tanah 7.5 hektar berharga RM53.6 juta di Johor Bahru | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MTAG beli tanah 7.5 hektar berharga RM53.6 juta di Johor Bahru

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 3 Feb – MTAG Group Berhad melalui anak syarikat milik penuhnya, MTAG Land Sdn. Bhd memeterai perjanjian untuk membeli sebidang tanah kosong pegangan bebas di Johor Bahru berharga RM53.58 juta sebagai sebahagian daripada pelan pengembangan jangka panjang kumpulan itu.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, MTAG berkata perjanjian tersebut ditandatangani pada 30 Januari 2026 dengan Grand Focus Sdn. Bhd. bagi pembelian tanah berkeluasan kira-kira 7.5 hektar di Mukim Tebrau, Johor Bahru.

 

“Tanah yang terletak di kawasan Taman Perusahaan Ringan Pulai itu kini berstatus tanah pertanian dan dizonkan untuk kediaman, namun mempunyai potensi pembangunan industri tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa berkaitan.

 

“Harga pembelian itu ditetapkan berdasarkan persetujuan kedua-dua pihak dengan mengambil kira nilai pasaran RM53.6 juta seperti yang dinilai oleh Cheston International (Johor) Sdn. Bhd. setakat 31 Disember 2025.

 

“Bayaran pembelian akan dibuat sepenuhnya secara tunai,  melibatkan deposit 10% manakala baki 90% akan dibayar dalam tempoh tiga bulan selepas perjanjian tanpa syarat, dengan pilihan lanjutan automatik selama dua bulan tertakluk kepada faedah,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Pembelian tanah berkenaan akan dibiayai melalui dana dalaman MTAG dan anak-anak syarikatnya.

 

Menurut MTAG, cadangan pengambilalihan itu selari dengan strategi kumpulan untuk memperkukuh keupayaan pembuatan dan perindustrian, di samping menyokong pengembangan kapasiti pengeluaran serta pertumbuhan perniagaan jangka panjang.

 

Kira-kira satu pertiga daripada tanah tersebut akan digunakan bagi operasi kumpulan merangkumi aktiviti pembuatan, gudang dan logistik, manakala baki kawasan berpotensi dibangunkan pada masa hadapan atau disewakan bergantung kepada keadaan pasaran dan keperluan kumpulan.

 

Lembaga pengarah MTAG berpandangan pengambilalihan ini adalah demi kepentingan terbaik kumpulan dan dijangka dapat diselesaikan pada separuh kedua tahun 2026, tertakluk kepada semua syarat dan kelulusan yang diperlukan. - DagangNews.com