MPMS kedua mula dibina, APMM bakal miliki 2 kapal induk maritim tahun depan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MPMS kedua mula dibina, APMM bakal miliki 2 kapal induk maritim tahun depan

Gambaran grafik kapal MPMS APMM buatan Türkiye.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 13 Feb - Pembinaan kapal pelbagai misi (MPMS) kedua Maritim Malaysia (APMM) dimulakan secara rasmi menerusi upacara simbolik pemotongan plat besi pertama kapal di limbungan Desan Shipyard, Türkiye.

 

Upacara bersejarah itu telah disaksikan secara telesidang dari Ibu Pejabat Maritim Malaysia Putrajaya kelmarin.

 

Ia melibatkan penyertaan pegawai kanan APMM dan wakil Bahagian Perolehan Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta Pasukan Projek MPMS.

 

 

 

 

 

 

 

Perkembangan mutakhir pembinaan aset baharu tersebut telah dikongsi dalam laman media rasmi agensi itu.

 

Kapal

 

Menerusi kenyataan media APMM memaklumkan, perkembangan ini mencatat satu lagi detik penting dalam usaha memperkukuh keupayaan aset maritim negara.

 

Menurut Pengarah Bahagian Kejuruteraan APMM, Laksamana Pertama Maritim Mohd Rizal Hishamuddin, semua pihak yang terlibat telah memainkan komitmen masing-masing bagi projek MPMS 2.

 

Jelas beliau, pemotongan plat besi pertama bukan sekadar simbolik permulaan pembinaan kapal, malah menzahirkan keyakinan APMM terhadap keupayaan Desan Shipyard.

 

Ini dalam memastikan pembinaan MPMS 2 berjalan secara sistematik, efisien serta mematuhi garis masa yang telah ditetapkan.

 

Kapal
Sebahagian daripada pegawai APMM semasa mengikuti telesidang upacara pemotongan plat besi pertama kapal MPMS di Putrajaya.

 

 

“Upacara ini melambangkan kepercayaan berterusan APMM terhadap komitmen Desan Shipyard dalam memastikan pembinaan kapal dilaksanakan secara teratur, efisien dan mengikut jadual yang ditetapkan,” katanya yang mewakili Ketua Pengarah APMM.

 

Pembinaan MPMS 2 merupakan kesinambungan kepada kejayaan pelaksanaan projek MPMS pertama yang sedang dibangunkan.

 

Difahamkan pembinaan kapal MPMS pertama di Turkiye berjalan lancar dan mencapai 60%.

 

Ia sekali gus memperlihatkan legasi kerjasama strategik antara APMM dan pihak pembina kapal di Türkiye dalam memperkasa aset penguatkuasaan maritim negara.

 

Kapal

 

Kapal
Pemotongan plat besi kapal MPMS pertama yang dimulakan pada tahun lalu.

 

 

Kapal MPMS pertama berharga RM304.29 juta manakala MPMS 2 (RM339.85 juta) dan apabila diterima pada tahun hadapan dapat memperkukuh operasi maritim.

 

MPMS direka sebagai platform operasi pelbagai peranan dengan panjang 99 meter dan lebar 17 meter serta menempatkan 70 kru.

 

 

 

 

 

 

Ia mampu mencapai kelajuan maksimum melebihi 20 knot serta beroperasi hingga 30 hari secara berterusan tanpa perlu ulang bekal.

 

Keupayaan operasi kapal ini diperkukuh dengan geladak helikopter, sistem pesawat tanpa pemandu (UAV) serta 4 bot untuk menyokong rondaan pantai dan tindakan penguatkuasaan segera.

 

Kapal
Pembinaan kapal MPMS pertama yang sedang dijalankan di limbungan Desan Shipyard, Türkiye.

 

 

Bermulanya pelaksanaan fasa pembinaan ini, APMM dijangka bakal memiliki 2 buah kapal induk baharu pada tahun hadapan.

 

Aset baharu ini akan melengkapkan kapal OPV KM Tun Fatimah dalam rondaan di Laut China Selatan kerana boleh berlayar lebih jauh. - DagangNews.com