KUALA LUMPUR 12 Dis – ManagePay Systems Bhd (MPay) mengumumkan kerjasama strategik dengan Taksim Pertama Sdn Bhd, pembangun Perwira Super App, bagi menyediakan perkhidmatan dompet mudah alih dan kad prabayar yang diluluskan Bank Negara Malaysia khusus untuk komuniti pertahanan.
Di bawah kerjasama ini, kedua-dua pihak menyasarkan pengeluaran sekurang-kurangnya 500,000 kad prabayar Mastercard dalam tempoh setahun, menjadikannya antara inisiatif digital berskala besar untuk anggota tentera dan keluarga mereka.
Taksim diberikan mandat oleh rangkaian Pertubuhan Perwira Niaga Malaysia (Pernama) — yang mengendalikan kedai runcit, termasuk bebas cukai, di kem tentera seluruh negara, untuk membangunkan dan mengurus Perwira Super App.
Aplikasi itu bakal menawarkan pelbagai perkhidmatan seperti kewangan, e-dagang, diskaun dan ganjaran, perkhidmatan kerajaan, kesihatan dan kesejahteraan serta pembelajaran digital.
Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, MPay berkata, anak syarikat milik penuhnya, ManagePay Services Sdn Bhd, telah menandatangani perjanjian pada 4 November untuk menyediakan MPay White Label Wallet dan kad prabayar berjenama bersama MPay–Mastercard.
MPay menjangkakan Perwira Super App akan memberi manfaat ekonomi yang signifikan melalui pemodenan digital, bukan sahaja untuk anggota tentera aktif, tetapi juga veteran serta perniagaan berkaitan di bawah Kementerian Pertahanan.
Di bawah perjanjian tersebut, Taksim mesti menyiapkan prototaip aplikasi itu dan mendapat kelulusan Pernama dalam tempoh 30 hari daripada tarikh perjanjian berkuat kuasa.
Pelancaran dompet dan kad prabayar dijadualkan dalam tempoh 12 bulan, tertakluk kepada syarat yang telah dipersetujui.
Perjanjian itu mempunyai tempoh awal lima tahun, dengan pembaharuan automatik lima tahun lagi atas syarat yang sama.
MPay menjangkakan kerjasama ini menyumbang positif kepada prestasi kewangannya bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026 dan seterusnya.
MPay turut menegaskan urus niaga ini tidak memerlukan kelulusan pemegang saham atau pihak berkuasa, dan tiada pengarah atau pemegang saham utama yang mempunyai kepentingan dalam perjanjian tersebut. - DagangNews.com








