KUALA LUMPUR 7 Julai - Mono Loop, jenama popular yang mengetengahkan konsep kedai barangan terpakai ala pencarian harta karun dari Jepun telah membuka cawangan pertamanya di Amcorp Mall, Petaling Jaya bermula Sabtu lalu.
Sempena pembukaan rasmi tersebut, Mono Loop Malaysia juga menawarkan diskaun 10% untuk semua barangan termasuk edisi terhad dan koleksi istimewa yang sukar didapati di tempat lain.
Pengurus Jualan Cawangan Mono Loop Malaysia, Zul Ikmal Syah Zohaime berkata, pelbagai item unik dan eksklusif ditawarkan kepada peminat koleksi barangan terpakai terkemuka itu.
"Daripada piring hitam klasik, figura anime edisi terhad, kamera vintaj, jam tangan berjenama, kad koleksi dan permainan nostalgia, kesemua barangan tersebut diimport terus dari Jepun dan dipilih khusus mengikut trend semasa di negara asal.
"Mono Loop Malaysia membawakan elemen budaya barangan terpakai dari Jepun yang penuh karakter dan setiap item dipilih dengan teliti mengikut minat dan trend di Jepun.
"Sama ada anda seorang pengumpul tegar, pembeli kasual atau mencari gaya hidup yang lebih mampan, Mono Loop Malaysia menawarkan pelbagai pilihan yang sesuai dengan citarasa dan minat anda," katanya dalam satu kenyataan.
Keistimewaan Mono Loop ialah mereka hanya membawa masuk barangan terpakai yang telah terbukti laris dan mendapat permintaan tinggi di Jepun dan bukannya barang longgokan atau lebihan stok.
Katanya, nilai sebenar barangan ini sangat tinggi namun, Mono Loop tetap mengekalkan harga yang mampu milik untuk semua lapisan masyarakat.
Mono Loop yang sebelum ini mempunyai cawangan di Jepun dan Thailand telah memilih Malaysia sebagai pasaran seterusnya kerana minat tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia terhadap budaya pop Jepun, selain trend pembelian barangan terpakai yang semakin berkembang.
“Kami di sini bukan sekadar menjual barangan, tetapi menyatukan budaya.
"Melalui perkongsian barangan terpakai dari Jepun, kami dapat mengurangkan pembaziran dan memupuk minat dan rasa penghargaan terhadap nilai setiap item,” katanya.
Setiap barangan di Mono Loop Malaysia dibawakan terus dari Jepun, menambah keaslian dan nilai eksklusif yang pasti menarik minat pencinta budaya negara tersebut.
Dengan kemasukan koleksi baharu secara berkala, setiap kunjungan ke Mono Loop menjanjikan penemuan yang unik dan berbeza.-DagangNews.com








