KUALA LUMPUR 29 Okt – Monash University Malaysia akan melabur RM2.8 bilion untuk membangunkan sebuah kampus baharu di pusat bandar Kuala Lumpur dengan kerjasama pemaju Tun Razak Exchange, TRX City.
Projek ini adalah pelaburan terbesar institusi Australia itu dalam bidang pendidikan dan penyelidikan di Malaysia.
Pengumuman itu dibuat oleh Naib Canselor dan Presiden Monash University, Profesor Sharon Pickering, bersama Perdana Menteri Australia Anthony Albanese dan Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia Datuk Seri Zambry Abd Kadir.
Kampus baharu itu dijangka mula dibuka pada 2032 dan mampu menampung sehingga 22,500 pelajar serta 1,700 kakitangan menjelang 2040 bagi memenuhi permintaan pendidikan tinggi bertaraf dunia di Malaysia dan rantau Asean.
Kampus TRX akan menempatkan pusat penyelidikan dalam bidang peralihan tenaga, kesihatan, kecerdasan buatan dan sains data serta memperkenalkan lebih 35 program baharu termasuk transformasi digital, keselamatan siber, perubahan iklim, kelestarian, penjagaan kesihatan, pembuatan maju dan kewangan.
Ketua Pegawai Eksekutif TRX City Datuk Azmar Talib berkata, kerjasama ini akan memperkukuh daya saing Malaysia dan pembangunan modal insan.
“Kerjasama kami dengan Monash University mengeratkan lagi hubungan Malaysia dengan Asean melalui pembangunan bakat. Kampus baharu ini akan membina generasi pemikir global seterusnya,” katanya.
Sementara itu, Presiden Monash University Malaysia, Profesor Emeritus Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman berkata, projek ini akan mengembangkan kapasiti penyelidikan dan pendidikan universiti itu yang selaras dengan matlamat pembangunan negara.
“Kami akan menyediakan pendidikan bertaraf dunia pada skala besar dengan fokus kepada transformasi digital, kesihatan, kelestarian, tenaga hijau dan pembangunan bandar,” katanya.
Universiti itu menganggarkan pelaburannya akan menyumbang sebanyak RM19.1 bilion kepada ekonomi Malaysia dalam tempoh 10 tahun akan datang melalui pembangunan infrastruktur, inovasi, pembangunan tenaga kerja dan inisiatif komuniti.
Sejak ditubuhkan pada 1998, Monash Malaysia kini mempunyai lebih 11,000 pelajar dari lebih 80 negara dan turut bekerjasama dengan rakan kongsi di Indonesia, Singapura, Kemboja, Thailand dan Vietnam untuk menyokong Pelan Induk Perindustrian Baharu Malaysia 2030.- DagangNews.com








