Mohamed Raffe Chekku beli 50% ekuiti Bina Puri di dalam LATAR berharga RM77 juta  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Mohamed Raffe Chekku beli 50% ekuiti Bina Puri di dalam LATAR berharga RM77 juta 

Datuk Mohamed Raffe Chekku - Gambar fail oleh L Manimaran
Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 20 Feb - Bina Puri Holdings Bhd melupuskan keseluruhan ekuiti 50% dalam syarikat konsesi Lebuhraya Kuala Lumpur–Kuala Selangor (LATAR) kepada Pengarah Urusan LATAR, Datuk Mohamed Raffe Chekku pada harga RM77 juta.

 

Kumpulan pembinaan itu berkata, ia menandatangani perjanjian tersebut dengan syarikat milik Mohamed Raffe, Arena Irama Sdn Bhd yang memiliki baki 50% pegangan dalam Kuala Lumpur–Kuala Selangor Expressway Bhd (KLKSE). KLKSE memegang konsesi LATAR sehingga tahun 2048.

 

Langkah untuk keluar daripada konsesi itu dibuat selepas tiada sebarang dividen dibayar oleh KLKSE sepanjang hampir tiga dekad sejak projek konsesi tersebut dianugerahkan pada 1997, menurut Bina Puri dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

 

“Sehubungan itu, cadangan pelupusan ini merupakan peluang yang tepat pada masanya untuk kumpulan merealisasikan keseluruhan nilai pelaburannya dalam KLKSE, yang membolehkan kumpulan mencatat anggaran keuntungan pelupusan kira-kira RM74.9 juta,” kata Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bina Puri, Marcus Goh Kee Lun.

 

Bina Puri berkata, hasil jualan itu akan digunakan untuk membayar balik pinjaman bank bagi memperkukuh kedudukan kewangannya. Nisbah penggearan dijangka berkurangan kepada 0.81 kali daripada 1.8 kali.

 

Goh menambah, kumpulan itu menyasarkan untuk melengkapkan cadangan skim pengaturannya menjelang suku pertama 2026.

 

Sehingga akhir Disember 2024, KLKSE mencatat kerugian terkumpul sebanyak RM234.2 juta, dengan aset berjumlah RM1 bilion dan liabiliti keseluruhan sebanyak RM1.18 bilion.

 

Harga RM77 juta itu berada pada julat bawah nilai pasaran antara RM76.3 juta hingga RM110.9 juta seperti yang ditentukan oleh Deloitte Malaysia, menurut Bina Puri.

 

 

 

 

 

 

Penilaian tersebut dibuat berdasarkan pendekatan aliran tunai terdiskaun (discounted cash flow) ke atas KLKSE, dengan mendiskaunkan anggaran kos purata wajaran modal sekitar 8% hingga 9% bagi tempoh 1 Januari 2026 hingga 27 Oktober 2048, jelas kumpulan itu.

 

Urus niaga itu, yang tertakluk kepada kelulusan pemegang saham, dijangka dimuktamadkan menjelang suku kedua 2026. Ia juga tertakluk kepada persetujuan pembiaya sedia ada KLKSE serta kerajaan.

 

Saham Bina Puri ditutup tidak berubah pada 30 sen, meletakkan nilai pasaran kumpulan itu pada RM267.89 juta. - DagangNews.com