KUALA LUMPUR 16 Jan – MN Holdings Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya, MN Utilities Engineering Sdn Bhd (MNUE), memperoleh empat Surat Pelantikan (LOA) bernilai keseluruhan RM122.7 juta bagi projek infrastruktur kuasa pusat data di Semenanjung Malaysia.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, kontrak berkenaan melibatkan kerja-kerja pembekalan dan pemasangan peralatan pencawang elektrik bagi beberapa kemudahan pusat data di kawasan Tengah dan Selatan Semenanjung.
Projek dijadualkan bermula pada Januari 2026 dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Jun 2027.
LOA tersebut dianugerahkan oleh sebuah syarikat antarabangsa yang berpangkalan di Amerika Syarikat, yang terlibat secara aktif dalam pembinaan projek kejuruteraan serta diiktiraf sebagai perunding terkemuka dalam perancangan, reka bentuk dan pembinaan kemudahan teknologi maklumat.
Bagaimanapun, identiti pelanggan tidak didedahkan berikutan perjanjian kerahsiaan.
Di bawah skop kontrak, MNUE akan bertanggungjawab melaksanakan kerja-kerja pembekalan, penghantaran, pemasangan dan pentauliahan transformer kuasa serta peralatan dan sistem sokongan berkaitan bagi menyokong operasi pusat data berkapasiti tinggi.
Pengarah Urusan MN Holdings, Datuk Clement Toh berkata, penganugerahan kontrak tersebut mencerminkan permintaan yang terus meningkat terhadap infrastruktur kuasa yang boleh dipercayai dan berprestasi tinggi sejajar dengan pertumbuhan pesat pembangunan pusat data di Malaysia.
“Kontrak ini bukan sahaja mengukuhkan buku pesanan Kumpulan, malah memperkukuh lagi kedudukan MN Holdings dalam segmen pusat data, di mana kebolehpercayaan sistem kuasa dan keupayaan pelaksanaan projek adalah faktor kritikal,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menambah, dengan kepakaran dan rekod prestasi kukuh dalam kejuruteraan pencawang serta sistem kuasa, Kumpulan berada pada kedudukan strategik untuk menyokong keperluan pengendali pusat data yang semakin berkembang di negara ini.
Selepas mengambil kira kontrak terbaharu ini, buku pesanan MN Holdings kini berjumlah kira-kira RM918.1 juta, sekali gus menyediakan keterlihatan pendapatan yang kukuh sepanjang tempoh pelaksanaan projek.
Kontrak tersebut dijangka memberi sumbangan positif kepada prestasi kewangan Kumpulan apabila projek bermula. - DagangNews.com








