MM Computer Systems terima kelulusan Bursa Malaysia untuk disenaraikan di Pasaran ACE | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MM Computer Systems terima kelulusan Bursa Malaysia untuk disenaraikan di Pasaran ACE

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 28 Jan – MM Computer Systems Berhad (MMCS) menerima kelulusan daripada Bursa Malaysia Securities Berhad untuk disenaraikan di Pasaran ACE.

 

MMCS dalam kenyataan hari ini berkata, penyenaraian tersebut diuruskan oleh Malacca Securities Sdn Bhd selaku penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan, manakala SCS Global Advisory (M) Sdn Bhd bertindak sebagai penasihat kewangan korporat kepada IPO berkenaan.

 

MMCS merupakan penyedia rumusan teknologi maklumat (IT) yang beroperasi melalui dua anak syarikat milik penuhnya, Micro Technology Solution Sdn Bhd (MTS) dan SMIND Sdn Bhd (SMIND).

 

Dengan lebih 23 tahun pengalaman operasi menerusi anak-anak syarikatnya, kumpulan telah membina rekod kukuh dalam penyampaian rumusan infrastruktur dan rangkaian IT, keselamatan siber serta perkhidmatan penyumberan luar IT kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC), perusahaan, korporat dan juga penjual semula di seluruh Malaysia.

 

Menurut MMCS, SMIND merupakan syarikat bertaraf Status Digital Malaysia Tahap 1, yang melayakkan syarikat itu menikmati pengecualian cukai pendapatan, sekali gus menyokong kecekapan kewangan dan daya saing kumpulan.

 

Model perniagaan kumpulan menggabungkan pelaksanaan projek berasaskan reka bentuk, pemasangan dan konfigurasi penyelesaian IT dengan aliran pendapatan berulang daripada perkhidmatan penyelenggaraan serta sokongan teknikal jangka panjang. 

 

Pendekatan ini diperkukuh oleh tenaga kerja teknikal bertauliah serta hubungan jangka panjang dengan pelanggan merentas pelbagai sektor.

 

Sejak penubuhannya, MMCS turut menerima pelbagai pengiktirafan daripada prinsipal global, termasuk status Rakan Kongsi Tahap Platinum daripada Dell Technologies Inc, akreditasi Rakan Kongsi Elit daripada Trend Micro Inc, pengiktirafan Penyedia Rumusan Tahap Perak daripada Hewlett Packard Enterprise Co, status Rakan Kongsi Tahap Perak daripada Sangfor Technologies Inc dan Ruijie Networks Co Ltd, serta pengiktirafan Rakan Kongsi Tahap Emas daripada International Business Machines Corporation (IBM).

 

Menurut kumpulan itu, pencapaian ini mencerminkan prestasi jualan yang konsisten serta kekuatan pasukan profesional bertauliah yang dimiliki.

 

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif MM Computer Systems Berhad, Young Yoong Chang berkata, kelulusan Bursa Malaysia itu merupakan detik penting dalam perjalanan korporat syarikat.

 

“Kelulusan daripada Bursa Malaysia ini menandakan satu pencapaian utama bagi kumpulan. Kami amat menghargai sokongan dan bimbingan berterusan daripada semua pihak berkepentingan serta penasihat sepanjang proses ini, dan kami kekal fokus untuk melaksanakan fasa seterusnya bagi mengembangkan kehadiran perniagaan serta memperdalam impak kepada pelanggan,” katanya.

 

Tambah MMCS, cadangan penyenaraian itu bertujuan menyokong pertumbuhan berterusan kumpulan sebagai penyedia solusi IT yang mapan, dengan membolehkan syarikat meneroka lebih banyak projek dan kontrak baharu, selain memperluaskan penawaran penyelesaian sejajar dengan perkembangan teknologi yang semakin pesat. - DagangNews.com