MLFF: Tiga akta akan dipinda untuk pelaksanaan kutipan tol, Parlimen diberitahu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MLFF: Tiga akta akan dipinda untuk pelaksanaan kutipan tol, Parlimen diberitahu

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 17 Nov – Tiga undang-undang di bawah Kementerian Kerja Raya akan dipinda tahun depan bagi membolehkan konsesi lebuh raya melaksanakan sistem kutipan tol Aliran Pantas Pelbagai Lorong (MLFF).

 

Timbalan Menteri Kerja Raya,  Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata tiga undang-undang tersebut ialah Akta Jalan Persekutuan 1959, Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Akta Lembaga Lebuhraya Malaysia (Perbadanan) 1980.

 

Beliau berkata, pindaan itu penting untuk menangani kesalahan berkaitan mengelak membayar tol apabila MLFF mula berkuat kuasa.

 

“Apabila palang tol dihapuskan, sudah tentu akan timbul isu berkaitan pengguna yang enggan membayar.

 

“Jadi pindaan itu akan merangkumi kesalahan tidak membayar tol,” katanya semasa menjawan soalan tambahan Zahir Hassan (PH-Wangsa Maju) mengenai sistem itu ketika sesi soalan lisan di Dewan Rakyat hari ini.

 

Ahmad berkata, mekanisme penguatkuasaan juga akan diperkemas, termasuk menentukan agensi mana yang akan diberi kuasa untuk bertindak.

 

“Kita sedang mempertimbangkan untuk meletakkan penguatkuasaan di bawah Lembaga Lebuhraya Malaysia,” tambahnya.

 

Beliau berkata, Kabinet sebelum ini telah bersetuju dengan model MLFF, yang telah diubah jenama daripada “multi-lane free flow” kepada “fast flow” bagi mengelakkan salah tanggapan bahawa pengguna tidak perlu membayar tol.

 

Beliau menambah bahawa MLFF akan dilaksanakan melalui model perniagaan-ke-perniagaan (B2B) tanpa penglibatan kerajaan; namun, pelaksanaannya telah ditangguhkan sementara menunggu pindaan undang-undang yang diperlukan.

 

“Pindaan terhadap ketiga-tiga Akta dijangka tahun depan dan hanya selepas itu MLFF dapat dilaksanakan,” katanya. - DagangNews.com