Mlabs gagal hantar laporan tahunan, dagangan saham berisiko digantung pada 10 Februari 2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Mlabs gagal hantar laporan tahunan, dagangan saham berisiko digantung pada 10 Februari 2026

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 4 Feb – Dagangan saham Mlabs Systems Bhd berkemungkinan digantung pada 10 Februari 2026 ekoran kegagalan syarikat itu mengemukakan laporan tahunan bagi tempoh kewangan berakhir 30 September 2025 dalam tempoh yang ditetapkan.

 

Syarikat yang disenaraikan di Pasaran ACE itu terlepas tarikh akhir 31 Januari 2026 untuk menghantar laporan tahunan, termasuk penyata kewangan diaudit, laporan juruaudit dan laporan pengarah, kepada Bursa Malaysia Securities. 

 

Mlabs sebelum ini memaklumkan kelewatan itu berlaku kerana juruaudit memerlukan masa tambahan untuk menyiapkan laporan tersebut.

 

Di bawah peraturan penyenaraian Pasaran ACE, Bursa Malaysia akan menggantung perdagangan sekiranya sesebuah syarikat gagal mengemukakan penyata kewangan dalam lima hari pasaran selepas tarikh akhir. 

 

Sekiranya laporan tidak dihantar pada atau sebelum 9 Februari, penggantungan akan berkuat kuasa pada 10 Februari dan hanya ditarik balik selepas laporan dikemukakan. 

 

Kegagalan dalam tempoh enam bulan boleh mencetuskan prosedur penyingkiran syarikat itu dari pasaran.

 

Namun, Mlabs berkata ia sedang bekerjasama dengan juruaudit untuk menyiapkan laporan dengan segera dan mensasarkan penerbitannya dalam dua minggu dari pengumuman pada 27 Januari.

 

Syarikat yang mencatat kerugian itu melaporkan pulangan ekuiti negatif 21.7% dan margin EBITDA 12 bulan terakhir negatif 86.2%. - DagangNews.com