IPOH 16 Feb – Syarikat penyedia perkhidmatan kesihatan, MK Ambulance Service (MK Ambulance) bakal menambah dua ambulans baharu tahun ini bagi memperkukuh operasi perkhidmatannya.
Pembelian dua ambulans lengkap dengan peralatan perubatan itu melibatkan pelaburan kira-kira RM350,000.
Ini menjadikan kesemuanya 16 buah kenderaan bagi menyediakan perkhidmatan sewaan ambulans yang semakin bertambah.
Pengasas dan Pengarah My Healthcare Services, Mazhar Khadir berkata, pelaburan itu mencerminkan komitmen syarikat dalam meningkatkan tahap kesiapsiagaan dan kualiti perkhidmatan kepada pelanggan.

Menurut beliau, pembelian aset baharu itu membolehkan pihaknya menawarkan perkhidmatan yang lebih cekap, selamat dan responsif.
“Dengan adanya ambulans baharu, memberi ruang kepada syarikat untuk memperluaskan liputan perkhidmatan termasuk penghantaran pesakit dari hospital sekitar Ipoh ke destinasi luar negeri.
“Kami turut menyediakan perkhidmatan pemindahan pesakit ke negara jiran seperti Thailand dan Singapura dengan kelengkapan serta pemantauan perubatan yang rapi,” katanya kepada DagangNews.
Beliau menjelaskan, setiap ambulans dilengkapi peralatan sokongan hayat asas dan lanjutan bagi memastikan keselamatan serta keselesaan pesakit sepanjang perjalanan.

Tambahnya, langkah penambahan aset itu selaras dengan visi syarikat untuk menjadi antara penyedia perkhidmatan ambulans swasta yang dipercayai dan berdaya saing.
Dalam pada itu, MK Ambulance komited untuk terus meningkatkan latihan kakitangan dan standard operasi demi memastikan mutu perkhidmatan sentiasa berada pada tahap terbaik.
Kata Mazhar, walaupun dibarisi petugas-petugas perubatan terlatih, namun aspek latihan sentiasa diberi perhatian dari masa ke semasa.


“Latihan ini termasuk dengan pihak hospital dan Jabatan Kesihatan Negeri Perak misalnya semasa menghadapi situasi kecemasan.
“Sebagai penyedia perkhidmatan sewaan ambulans dan kecemasan, kita mahu petugas bersiap sedia apabila khidmat mereka diperlukan,” ujarnya. - DagangNews.com








