KUALA LUMPUR 20 Ogos – Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) akan menganjurkan acara ikonik yang menguji keupayaan ‘off-road’ popular ‘Red Peak Challenge’ di Kuching pada 23 dan 24 Ogos ini.
Acara tersebut dijadual berlangsung di Farley Mall, Kuching bermula pukul 10 pagi hingga 6 petang dan menawarkan peluang keemasan kepada orang ramai untuk menguji sendiri ketahanan serta prestasi Mitsubishi Triton.
Sepanjang acara tersebut, pengunjung berpeluang merasai pengalaman mendaki cerun dramatik Red Peak Climb setinggi 45 darjah bersama jurulatih profesional, selain mencuba pelbagai halangan buatan yang direka bagi memperlihatkan kawalan mendaki, sistem 4WD serta kestabilan Triton.
Mitsubishi Motors berkata, antara tarikan lain termasuk aksi ‘side traverse ramp’ dengan cerun sisi 35 darjah yang membuktikan ketegapan dan kestabilan casis Triton.
“Selain itu ‘roller ramp’ pula menampilkan simulasi keadaan tersekat di laluan berlumpur yang menonjolkan sistem Super Select 4WD-II serta 7 mod pemanduan.
“Staircase Ramp pula akan menguji teknologi off-road dan keselesaan kabin di laluan tidak rata atau curam.
“Peserta yang memandu uji atau membuat tempahan kenderaan sepanjang acara juga berpeluang menyertai cabutan bertuah harian dengan hadiah menarik seperti Naturehike Camping Wagon bernilai RM500, kerusi lipat Mitsubishi Poler bernilai RM300 dan kipas mudah alih USB Mitsubishi bernilai RM200,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Turut mencuri perhatian ialah kemunculan Monster Energy Triton Truck dan mana-mana pengunjung terawal menemuinya boleh mendapatkan minuman tenaga Monster secara percuma.
Model utama, Mitsubishi Triton Athlete dengan harga bermula RM159,980 (atas jalan tanpa insurans di Semenanjung Malaysia), ditawarkan dengan pakej eksklusif sempena ulang tahun ke-20 Mitsubishi Motors.
Antara tawaran termasuk Fantastic 5 Package dengan manfaat sehingga RM30,000, SME Gear Up Program untuk pemilik perniagaan, serta Triton Switch Up Program yang membolehkan pemilik Triton sedia ada menaik taraf ke model baharu tanpa bayaran pendahuluan. - DagangNews.com








