Mitrajaya peroleh kontrak kerja awal pusat data NEXTDC bernilai RM54 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Mitrajaya peroleh kontrak kerja awal pusat data NEXTDC bernilai RM54 juta

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 14 April – Mitrajaya Holdings Bhd terus mengukuhkan kedudukannya dalam segmen pusat data apabila memperoleh satu lagi kontrak pembinaan daripada NEXTDC Sdn Bhd, anak syarikat kepada gergasi pusat data Australia, NEXTDC Ltd.

 

Kontrak terbaharu itu melibatkan kerja-kerja awal pembinaan bagi projek “KL1 Stage 4 Data Centre ST4-GC01” di Kuala Lumpur dengan nilai sekitar RM54 juta.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kontrak berkenaan telah diterima pada 2 Mac lalu sebelum diumumkan kepada pasaran pada 13 April.

 

Mitrajaya berkata skop kerja bagi kontrak ini adalah kerja awal dengan tarikh siap disasarkan pada Oktober tahun ini.

 

Kontrak ini menambah lagi pendedahan syarikat dalam pembangunan pusat data bersama NEXTDC, sekali gus mengukuhkan kedudukan Mitrajaya dalam sektor infrastruktur digital yang sedang berkembang pesat di Malaysia.

 

Sebelum ini, Mitrajaya telah memperoleh kontrak kerja utama bagi projek pusat data tersebut pada Januari 2025, sebelum beberapa perubahan skop kerja.

 

Susulan perubahan berkenaan, nilai keseluruhan kontrak projek sama kini meningkat kepada kira-kira RM844.66 juta setakat Januari 2026, menjadikannya antara projek pusat data utama dalam portfolio syarikat.

 

NEXTDC sebelum ini dilaporkan merancang pembangunan pusat data tersebut sejak 2023, dengan pelaburan di Malaysia dianggarkan sekitar RM3 bilion dalam tempoh lima hingga 20 tahun, selaras dengan peningkatan permintaan terhadap infrastruktur digital dan teknologi awan di rantau ini. - DagangNews.com