KUALA LUMPUR 14 Okt - Pengeluaran Lesen Pembuatan Laluan Pantas (Fast-Track ML) dan Surat Tiada Bantahan dalam tempoh tujuh hari bekerja akan diperkenalkan sebagai langkah strategik baharu mempercepatkan pembangunan dan pelaburan di Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ).
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam kenyataan berkata, inisiatif yang diumumkan Menterinya, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Aziz pada Forum Pelaburan Bersama JS-SEZ Kedua di Singapura hari ini, itu adalah seiring dengan hasrat menjadikan zon tersebut sebagai pemacu utama daya saing ekonomi serantau dan pemangkin integrasi perdagangan ASEAN.
Menurut Tengku Zafrul, pengenalan Lesen Pembuatan Laluan Pantas membolehkan kelulusan projek pembuatan bagi industri tidak sensitif dalam tempoh tujuh hari bekerja.
"Sebagai pelengkap, Surat Tiada Bantahan (No Objection Letter) daripada Kerajaan Negeri Johor juga akan dikeluarkan dalam tempoh masa sama, sekali gus mempercepatkan ketibaan pelaburan berteknologi tinggi dan bernilai tambah," katanya.

Mengenai pembiayaan, Tengku Zafrul berkata, Dana Co-Investment Strategik (CoSIF) akan digunakan sebagai instrumen pembiayaan utama bagi pertumbuhan industri dalam zon itu.
"Dengan penambahan peruntukan RM200 juta dalam Belanjawan 2026 untuk CoSIF, dana akan disediakan bagi pelaburan bersama dalam projek berimpak tinggi oleh PKS Malaysia di JS‑SEZ, disokong dengan nisbah padanan / perkongsian risiko yang dipertingkat serta kadar pembiayaan yang menggalakkan pelaburan lebih leveraj.
"CoSIF juga bakal membantu PKS dalam meningkatkan kapasiti, penerapan teknologi dan keusahawanan lestari," katanya.
Beliau menambah, MITI juga akan mengkaji penyusunan semula Dana Pembangunan Perniagaan Malaysia‑Singapura (MSBDF), agar skop dana tersebut disesuaikan dengan sektor ekonomi yang dikenal pasti dalam JS‑SEZ.
"Langkah ini membolehkan lebih banyak PKS — khususnya yang ingin berkembang secara serantau — memanfaatkan peluang pembangunan perniagaan bersama," ujarnya.
Mengenai pembangunan bakat dan kemudahan pelabur, MITI katanya, akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Sumber Manusia (MOHR) bagi menyokong pembangunan bakat sejajar dengan NIMP 2030, terutamanya dalam sektor seperti AI, kenderaan elektrik (EV) dan semikonduktor, yang juga menyokong aspirasi perindustrian JS‑SEZ.
"Bagi memudahkan pengalaman pelabur, melalui inisiatif Investor Pass yang dikendalikan oleh MIDA, pelabur asing layak kini boleh menikmati Visa Masuk Berganda (Multiple Entry Visa, MEV) yang sah sehingga 12 bulan melalui platform Xpats Gateway, yang dilancarkan pada April 2025.
"Inisiatif ini terbuka kepada pelabur baru, sedia ada dan bakal hadir dari semua sektor. MIDA turut proaktif menawarkan Investor Pass secara langsung kepada syarikat multinasional layak dan pelabur berpotensi dalam sektor bernilai tinggi seperti elektrik & elektronik dan mereka yang memenuhi syarat di bawah insentif Family Office yang diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia," jelasnya.
Menurut Tengku Zafrul, JS‑SEZ menjadi contoh bagaimana kelebihan timbal balik dua hala dapat dimanfaatkan untuk kesejahteraan bersama dan ketahanan serantau.
Katanya, dengan menyelaraskan kekuatan merentasi sempadan — kedalaman industri Malaysia dengan rangkaian global Singapura — zon ini menjadi platform menang-menang untuk inovasi, pelaburan dan pertumbuhan inklusif.
“Ini bukan sekadar kerjasama ekonomi; ia adalah cetak biru integrasi masa depan dalam ASEAN,” katanya.
MITI akan terus bekerjasama rapat dengan kementerian Singapura (“MTI”) bagi memperkemas pengalaman pelabur seterusnya memastikan kejayaan JS‑SEZ.
Sementara itu forum tersebut turut dihadiri serikan kehadiran Timbalan Perdana Menteri Singapura yang juga Menteri Perdagangan & Industri, Gan Kim Yong dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi. - DagangNews.com








