MISC terima kontrak jangka panjang PTT bagi 2 kapal pembawa etana baharu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MISC terima kontrak jangka panjang PTT bagi 2 kapal pembawa etana baharu

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 5 Mac — MISC Berhad menerima kontrak sewaan berdasarkan waktu (TCP) jangka panjang daripada PTT Public Company Limited bagi dua kapal Pembawa Etana Sangat Besar (VLEC) binaan baharu.
 

Perjanjian penting yang dimeterai itu turut mencerminkan komitmen MISC selaras dengan strategi menumpukan kepada memacu pertumbuhan mampan, meningkatkan daya tahan portfolio dan menyampaikan nilai terbaik kepada semua pihak berkepentingannya.
 

Menurut kenyataan MISC, VLEC model baharu tersebut bakal memenuhi banyak keperluan pengangkutan berpotensi dalam jadual pengambilan oleh PTT dari kemudahan eksport etana di Amerika Syarikat (AS) untuk belayar menuju ke Thailand.
 

Penambahan VLEC tercanggih ini ujarnya, turut mempercepatkan usaha MISC dalam usaha memperbaharui portfolionya dan mengukuhkan daya tahan sebagai penjana pendapatannya.
 

Dengan mempelbagaikan pasaran eksport etana, MISC bukan sahaja berupaya mengembangkan jejaknya dalam industri tenaga global tetapi juga memastikan aliran hasil yang lebih teguh dan mampan.
 

Ini sejajar dengan visi jangka panjang MISC sendiri untuk menyampaikan kemajuan melalui penyelesaian yang inovatif dan berfikiran ke hadapan.
 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MISC Berhad, Zahid Osman berkata, TCP itu akan menyumbang ke arah pengembangan portfolio MISC dalam pasaran eksport etana global.
 

"Sebagai rakan kongsi yang dipercayai, kami komited untuk menyampaikan penyelesaian perkapalan terbaik dalam kelasnya serta memenuhi keperluan yang berkembang oleh pemain industri tenaga global dengan selamat dan cekap."

 

misc


Keputusan PTT untuk bekerjasama dengan MISC menggambarkan keyakinan mereka malah ujarnya, pihak MISC menghargai kepercayaan mereka kepada PTT untuk kerjasama tersebut.
 

Dua kapal itu akan dibina oleh HD Hyundai Heavy Industries dan dijadualkan untuk penghantaran pada akhir 2028 dan setelah siap, VLEC berkapasiti muatan 100,000 cbm ini akan disenaraikan antara yang terbesar seumpamanya di dunia.
 

Direka bentuk dengan enjin pendorong etana dwi-bahan api, VLEC ini direka bentuk untuk mengurangkan gas rumah hijau berbanding kapal konvensional dan mematuhi peraturan NOx IMO Tier III. 
 

Kapal itu akan dilengkapi dengan teknologi Penjana Aci, yang memanfaatkan kuasa daripada enjin utama untuk kegunaan atas kapal, dengan ketara mengurangkan penggunaan bahan api dan tahap pelepasan. 
 

"Ciri-ciri inovatif ini mencerminkan komitmen MISC terhadap penghantaran dan sokongan usaha mampan kami untuk mengurangkan pelepasan karbon di seluruh operasi kami," jelas kenyataan tersebut.
 

Di luar peranan utama sebagai pengangkut etana, VLEC ini juga mampu membawa etilena dan gas petroleum cecair dalam tangki kargo membran pada suhu kriogenik -104 darjah Celcius melalui sistem pembendungan moden dikenali GTT MARK III.
 

Perjanjian TCP ditandatangani oleh Zahid Osman, dan dan Naib Presiden Eksekutif Kanan, Unit Perniagaan Dagangan Antarabangsa, PTT, Jaturong Worawitsurawatthana. - DagangNews.com