MISC raih kontrak FSRU 20 tahun daripada PETRONAS Gas | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MISC raih kontrak FSRU 20 tahun daripada PETRONAS Gas

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 5 Mei - MISC Bhd memperoleh kontrak jangka panjang daripada PETRONAS Gas Bhd (PGB) bagi pembekalan, operasi dan penyelenggaraan sebuah unit penyimpanan dan regasifikasi terapung (FSRU).

 

Dalam pemfailan kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu memaklumkan telah menerima serta menyetujui surat anugerah berkenaan pada 30 April 2026, melibatkan penyediaan sebuah FSRU binaan baharu untuk PGB.

 

Kontrak tersebut adalah bagi tempoh tetap selama 20 tahun dengan jangkaan permulaan operasi pada 2029.

 

Perkhidmatan FSRU itu akan dilaksanakan melalui anak syarikat milik penuh MISC kepada PGB atau entiti berkaitannya.

 

Seiring dengan itu, MISC turut memeterai kontrak pembinaan kapal dengan Samsung Heavy Industries Co Ltd bagi pembinaan FSRU baharu berkenaan.

 

Menurut MISC, langkah tersebut menandakan kemasukan strategik syarikat ke dalam segmen FSRU, dengan memanfaatkan kepakaran sedia ada dalam operasi kapal LNG dan unit penyimpanan terapung.

 

“Projek ini juga mencerminkan pengukuhan kerjasama strategik kami dengan Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) dalam menyokong pembangunan infrastruktur tenaga negara,” katanya.

 

Bagaimanapun, MISC menjangkakan projek berkenaan tidak akan memberi kesan material terhadap pendapatan, aset bersih, tahap penggearan mahupun modal saham kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026. - DagangNews.com