KUALA LUMPUR 19 Jan - Kementerian Pertahanan (MINDEF) memandang serius tindakan tidak bertanggungjawab segelintir pihak yang berani menyebarkan naratif spekulatif di media sosial berhubung perkara pelantikan strategik dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Dalam satu kenyataan, kementerian menegaskan bahawa tindakan berkenaan, termasuk mengedarkan senarai nama pegawai kanan ATM, merupakan salah laku yang jelas menjejaskan kredibiliti sistem pengurusan pertahanan negara.
Menurut kenyataan itu, perbuatan sedemikian yang dilakukan sebelum proses rasmi bukan sahaja membuka ruang kepada persepsi negatif, malah berpotensi menjejaskan moral pegawai serta mengganggu rantaian perintah dalam ATM.
“Sebarang pelantikan dan kenaikan pangkat pegawai ATM tertakluk kepada perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim, Yang di-Pertuan Agong selaku Pemerintah Tertinggi ATM, atas nasihat Majlis Angkatan Tentera (MAT).
“Oleh itu, sebarang pengumuman pramatang dianggap sebagai satu perbuatan tidak menghormati institusi diraja serta hierarki kepimpinan ATM,” menurut kenyataan itu.
MINDEF turut memberi amaran bahawa penyebaran terbuka maklumat sulit atau dalaman boleh mengancam keselamatan maklumat dan kedaulatan negara.
“Pihak-pihak terlibat dinasihatkan supaya segera menghentikan sebarang tindakan yang boleh memburukkan keadaan, mencemarkan imej ATM atau mengelirukan orang ramai,” kata kenyataan itu.
Kementerian menambah, ia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang didapati menyebarkan maklumat sulit kerajaan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Angkatan Tentera 1972 atau Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak memuat naik, mengulas atau berkongsi kandungan bersifat spekulatif sedemikian, sebaliknya merujuk kepada pengumuman rasmi melalui saluran kementerian dan ATM,” menurut kenyataan itu. - DagangNews.com








