KUALA LUMPUR 27 Okt – MISC Berhad (MISC), bersama rakan konsortiumnya Nippon Yusen Kabushiki Kaisha (NYK), Kawasaki Kisen Kaisha, Ltd. (K-LINE) dan China LNG Shipping (Holdings) Limited (CLNG), meraikan penamaan dua kapal pengangkut gas asli cecair (LNG) generasi baharu – Mihzem dan Idd Al Shargi pada 17 Oktober 2025.
Kapal berteknologi tinggi yang dibina oleh Hudong-Zhonghua Shipbuilding Co. Ltd. itu merupakan kapal kelima dan keenam dalam armada 12 kapal LNG di bawah konsortium berkenaan.
Kedua-duanya adalah kapal pertama yang akan diuruskan oleh bahagian Perkhidmatan Marin MISC sebagai sebahagian daripada program pengembangan QatarEnergy LNG.
Langkah ini menandakan satu lagi kejayaan penting bagi MISC, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju global dalam penghantaran LNG.
Ia juga mencerminkan keupayaan syarikat mengendalikan aset berskala besar dengan tahap keselamatan, kualiti dan kebolehpercayaan tertinggi.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MISC, Zahid Osman berkata, penamaan kapal Mihzem dan Idd Al Shargi adalah bukti kemajuan pelaksanaan strategi #deliveringProgress syarikat itu.
“Sebagai kapal pertama dalam program bersejarah ini yang diuruskan oleh pasukan Perkhidmatan Marin kami, kami komited melaksanakan operasi maritim yang selamat, cekap dan mampan. Kejayaan ini juga mencerminkan kekuatan kerjasama dengan rakan konsortium – NYK, K-Line dan CLNG – yang menjadi tunjang utama pencapaian ini.
“Kami berbangga dapat menyokong visi besar QatarEnergy dan menjadi sebahagian daripada program pengembangan armada LNG bersejarah mereka,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut MISC, pembinaan dua kapal baharu ini turut melambangkan kemajuan dalam strategi syarikat yang menumpukan kepada penyampaian tenaga lebih banyak dengan pelepasan karbon yang lebih rendah, selaras dengan matlamat global ke arah perkapalan hijau.
Kapal Mihzem dan Idd Al Shargi turut melambangkan komitmen MISC terhadap teras “Resilient Core” yang menekankan pemodenan armada dan peralihan kepada kapal mesra alam, demi memastikan ketahanan jangka panjang serta penciptaan nilai mampan kepada pemegang kepentingan.
Menariknya, nama kedua-dua kapal itu diambil daripada lokasi penting dalam warisan tenaga Qatar, menggambarkan kesinambungan dan kemajuan daripada penemuan awal industri tenaga negara berkenaan ke arah kerjasama strategik yang membentuk masa depan tenaga global.
Setiap kapal dilengkapi dengan sistem canggih yang memenuhi piawaian ketat Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO), menjadikannya antara kapal LNG paling cekap dan mampan yang beroperasi di pasaran hari ini.
Majlis penamaan tersebut turut dihadiri oleh Dr. Ira Seriwati Abdul Rahman yang bertindak sebagai Lady Sponsor bagi kedua-dua kapal, bersama wakil daripada QatarEnergy, Hudong-Zhonghua Shipyard, badan pengelasan ABS dan CCS, serta pengurusan kanan MISC dan rakan konsortiumnya.
Dengan kemasukan Mihzem dan Idd Al Shargi ke dalam perkhidmatan, MISC dan rakan konsortiumnya akan terus memainkan peranan penting dalam menyokong pertumbuhan portfolio tenaga QatarEnergy, sambil memperkukuh keselamatan tenaga global serta memacu masa depan maritim yang lebih lestari. - DagangNews.com








