KUALA LUMPUR 29 Okt - Pendapatan Axis Real Estate Investment Trust (REIT) dijangka kekal stabil didorong oleh sumbangan aset industri yang berdaya tahan, kata MIDF Research.
Firma penyelidikan itu berkata, permintaan ruang indstri juga turut menyokong pertumbuhan pendapatan sederhana hingga panjang kumpulan.
"Bagi sembilan bulan pertama FY2024 (9MFY24), Axis REIT mencatat pendapatan bersih teras sebanyak RM120.7 juta yang sejajar dengan ramalan kami.
"Axis REIT mengumumkan pengagihan seunit (DPU) ketiga sebanyak 2.35sen bagi 3QFY24, menjadikan jumlah DPU kepada 6.90sen pada 9MFY24.
"Dalam pada itu, pendapatan bersih teras Axis REIT pada 3QFY24 meningkat kepada RM40.8 juta didorong oleh aset yang baru diambil alihnya iaitu Axis Vista 2, Axis Industrial Facility @ Batu Caves dan Axis Industrial Facility @ Sendayan," katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.
MIDF Research turut berkata, pada asas tahunan, Axis REIT mencatat pendapatan bersih teras 3QFY24 lebih tinggi, menjadikan pendapatan bersih teras terkumpul 9MFY24 lebih tinggi pada RM120.7 juta.
Pendapatan teras tersebut didorong oleh permulaan pajakan Pusat Pengedaran Bukit Raja 2, pengembalian sewa positif dan sumbangan daripada lima aset yang baru diambil alih.
Sementara itu, firma tersebut berkata, kos pembiayaan Islam meningkat 18.7% tahun ke tahun (YoY) pada 9MFY24 dibantu oleh pembiayaan tambahan bagi pemerolehan aset dan peningkatan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25bps pada Mei 2023.
"Kami kekal positif terhadap Axis REIT kerana prospek kumpulan yang stabil yang didorong oleh prospek positif bagi aset industri di Malaysia.
"Kami mengekalkan saranan 'beli' terhadap Axis REIT dan mengekalkan harga sasaran (TP) sebanyak RM2.12 sesaham," katanya. - DagangNews.com








