KUALA LUMPUR 4 Feb – Malaysian Genomics Resource Centre Berhad (MGRC) memperoleh mandat pemegang saham bagi pengambilalihan 90.288 juta saham SNS Network Technology Berhad (SNS).
Ia melibatkan pertimbangan tunai bernilai RM22.225 juta dilakukan melalui pasaran terbuka, selepas Resolusi Pertama itu diluluskan dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) di ibu negara semalam.
Usul tersebut menerima sokongan hampir sebulat suara dengan 99.97% undi menyokong, sekali gus mengesahkan kelulusan pemegang saham terhadap transaksi pengambilalihan syarikat berkenaan.
"Dalam EGM sama, pemegang saham turut meluluskan Resolusi Kedua berkaitan ratifikasi pelupusan keseluruhan 90.288 juta saham SNS bernilai RM22.077 juta," maklum MGRC kepada Bursa Malaysia.
Langkah penjualan saham tersebut juga katanya, dilaksanakan melalui pasaran terbuka, dengan usul berkenaan menerima sokongan undi yang sama melibatkan 27 pemegang saham mewakili 99.97% undi.
Selain itu, Resolusi Ketiga berhubung pemberian kuasa kepada MGRC membeli balik sehingga 10% daripada jumlah saham terbitan syarikat pada bila-bila masa turut diluluskan, dengan 99.98% undi.
Kesemua resolusi dibentangkan telah diluluskan melalui undian secara pungutan suara, dengan keputusan disahkan oleh CSC Securities Services Sdn Bhd yang dilantik selaku pemeriksa bebas.
MGRC ditubuhkan pada 2002, merupakan kumpulan bioteknologi dan sains hayat yang memberi fokus kepada ujian serta analisis genomic, termasuk data genetik selain rumusan kesihatan digital.
Kumpulan ini terlibat dalam penggunaan teknologi genetik untuk tujuan perubatan, penyelidikan dan kesihatan awam, termasuk perkhidmatan makmal klinikal dan forensik serta diagnostik molekul.
Ia disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 2010, turut aktif dalam diagnostik perubatan ketepatan, penyelidikan dan pembangunan (R&D) bidang genomik serta bioinformatik. - DagangNews.com








