KUALA LUMPUR 20 Nov – MGB Berhad mencatat satu lagi pencapaian besar apabila anak syarikat usaha samanya di Arab Saudi, MGB Alameriah Contracting Company, menerima Surat Tawaran (LA) bernilai sehingga RM444 juta daripada Beetah Real Estate Company bagi projek pembinaan kediaman dan komersial di Al Madinah Al Munawwarah, Madinah.
Menurut syarikat itu, nilai tersebut bersamaan kira-kira SAR400 juta, menjadikannya anugerah luar negara terbesar MGB setakat ini, sekali gus mengukuhkan kedudukan kumpulan berkenaan dalam landskap pembinaan pesat membangun di Timur Tengah.
Projek berkenaan merangkumi pembinaan pembangunan kediaman-komersial lengkap melibatkan 440 unit apartmen merentasi empat jenis iaitu A1, A2, B1 dan B2.
Menurut MGB, projek yang terletak di kota Medina itu dijadualkan siap dalam tempoh 30 bulan, dengan kerja pembinaan dijangka bermula 1 Mac 2026.
Kota Madinah, yang merupakan bandar keempat terbesar di Arab Saudi, turut mencatat pertumbuhan pesat dengan lebih SAR210 bilion melibatkan 213 projek pembangunan sedang dilaksanakan, dipacu sektor perdagangan, pembinaan dan pelancongan.
MGB berkata, peranan syarikat itu di Arab Saudi telah berkembang ketara sejak penubuhannya.
Bermula sebagai pengeluar dan pembekal produk konkrit pra tuang, MGB kini berjaya membina kredibiliti serta hubungan strategik hingga dapat muncul sebagai kontraktor utama di bawah agenda transformasi Vision 2030.
Menurut syarikat itu lagi, kemajuan tersebut mengiktiraf kemampuan MGB yang kini di tahap bertaraf dunia, hasil kepercayaan serta konsistensi strategi jangka panjang mereka di rantau tersebut.
Selain membuka ruang untuk peluang baharu pada masa depan, projek ini turut menyokong langkah kerajaan Arab Saudi mencapai sasaran 70% pemilikan rumah menjelang 2030, selain memasuki kelompok 10 teratas dalam Global Competitive Index.
Mengulas pencapaian itu, Pengerusi Eksekutif Kumpulan MGB, Tan Sri Ir Dr Lim Hock San berkata, ini adalah detik yang membanggakan bagi MGB.
“Pelantikan sebagai kontraktor utama bagi pembangunan penting di Medina mencerminkan kepercayaan rakan-rakan kami terhadap keupayaan serta kekuatan kepakaran kejuruteraan kami. Peralihan daripada pembekal konkrit pra tuang kepada peneraju projek pembinaan utama menggambarkan ketahanan, pertumbuhan dan dedikasi pasukan MGB,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, MGB berbesar hati dapat menyumbang kepada pembangunan sebuah kota yang begitu signifikan dan pihaknya yakin kehadiran MGB di Arab Saudi akan terus diperkukuh seiring transformasi negara itu.
Dengan penerimaan LA tersebut, MGB melangkah yakin ke hadapan dalam aspirasi menjadi peneraju pembinaan dan kejuruteraan di Kerajaan Arab Saudi. - DagangNews.com








