Meta Bright meterai perjanjian dengan TNB bagi projek solar 43.66 kWp di Indera Mahkota | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Meta Bright meterai perjanjian dengan TNB bagi projek solar 43.66 kWp di Indera Mahkota

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 12 Mei – Meta Bright Group Berhad (MBGB) melalui anak syarikat milik penuhnya, FBO Land (Setapak) Sdn Bhd memeterai perjanjian bersama Tenaga Nasional Berhad dan Surau Perumahan PASDEC II Indera Mahkota bagi pelaksanaan sistem solar fotovoltaik (PV) di premis berkenaan.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia berkata Perjanjian Bekalan Tenaga Boleh Diperbaharui (SARE) itu merupakan perkembangan penting daripada Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai pada 30 Mei 2023 antara MBGB dan Koperasi Kakitangan Istana Pahang Berhad (KKIPB), iaitu peralihan daripada fasa cadangan kepada pelaksanaan projek sebenar.

 

“Di bawah perjanjian itu, FBO Land akan bertanggungjawab untuk mereka bentuk, membina, memasang, mengendalikan dan menyelenggara sistem solar PV berkapasiti 43.66 kWp (DC) / 36.00 kWac di Surau Perumahan PASDEC II Indera Mahkota, Pahang.

 

“Projek ini dilaksanakan menerusi mekanisme SARE iaitu model perjanjian di mana pihak swasta membangunkan sistem solar di premis pelanggan dan menjual tenaga elektrik yang dijana secara terus pada kadar yang dipersetujui,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Dalam perjanjian tersebut, tarif solar ditetapkan pada RM0.4054 setiap kilowatt-jam (kWh) dengan tempoh kontrak selama 20 tahun, di mana elektrik yang dijana akan digunakan oleh surau berkenaan di bawah skim tersebut.

 

Sepanjang tempoh kontrak, FBO Land akan memiliki sistem solar PV itu manakala TNB akan bertindak sebagai pemilik meter tenaga solar bagi tujuan pemantauan dan penyelarasan penggunaan elektrik di bawah sistem grid.

 

Selepas tamat tempoh 20 tahun, kedua-dua aset iaitu sistem solar dan meter tenaga akan dipindahkan kepada pihak surau pada nilai nominal RM1, menjadikan projek ini sebagai aset jangka panjang kepada komuniti setempat selain menjamin manfaat tenaga berterusan.

 

MBGB berkata, projek ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan berulang kumpulan sepanjang tempoh konsesi, dengan anggaran hasil sekitar RM0.5 juta sepanjang 20 tahun, selain memperkukuh kedudukan syarikat dalam sektor tenaga boleh diperbaharui dan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

 

Syarikat turut menjelaskan bahawa walaupun terdapat risiko operasi seperti penyelenggaraan sistem, prestasi panel dan faktor cuaca, ia merupakan risiko lazim dalam projek tenaga solar, selain menegaskan bahawa tiada kesan terhadap modal saham atau pegangan pemegang saham utama kumpulan. - DagangNews.com