KUALA LUMPUR 29 Sept - Mesiniaga Berhad memperoleh kontrak lima tahun bernilai RM135.58 juta daripada Kementerian Kewangan bagi menyediakan teknologi penandaan produk, perkhidmatan pembangunan sistem, serta perkakasan menyeluruh untuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
Kontrak tersebut merangkumi pembekalan 2.6 bilion penandaan bagi produk rokok dan minuman beralkohol
"Kontrak itu akan bermula pada 1 Oktober 2025 ingga 30 September 2030," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.
Bagaimanapun, perjanjian itu tidak termasuk klausa pembaharuan automatik.
Mesiniaga berkata, risiko utama berkaitan dengan pematuhan tahap perkhidmatan dan jadual penghantaran yang ditetapkan oleh pelanggan.
Kumpulan itu bagaimanpun menegaskan, sudah melaksanakan langkah-langkah mitigasi bagi mengurangkan risiko tersebut.
Kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan bermula tahun kewangan berakhir 31 Dis 2026 (FY26) dan sepanjang tempoh perjanjian.
Setakat akhir Jun 2025, kumpulan itu merekodkan baki tunai sebanyak RM37.51 juta, berbanding jumlah pinjaman RM13.45 juta, sekali gus meletakkan syarikat pada kedudukan tunai bersih RM24.06 juta.- DagangNews.com








