KUALA LUMPUR 30 Okt – Pemaju hartanah, Meridian Bhd yang disenaraikan di bawah Nota Amalan 17 (PN17) memperoleh satu lagi lanjutan masa daripada Bursa Malaysia Securities untuk mengemukakan pelan pemulihan syarikatnya.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Meridian berkata, syarikat itu sebelum ini memohon lanjutan selama sembilan bulan sehingga 25 Jun tahun depan, namun hanya diberikan lanjutan selama enam bulan sehingga 25 Mac.
Ini merupakan lanjutan ketiga yang diterima Meridian sejak diklasifikasikan sebagai syarikat PN17 pada April 2024.
Syarikat pada mulanya dikehendaki menyerahkan pelan pemulihan selewat-lewatnya 25 September 2024, sebelum tarikh akhir itu dilanjutkan kepada 25 Mac 2025 dan kemudian ditangguhkan lagi kepada 25 September 2025.
Menurut Bursa, lanjutan masa tersebut diberikan tanpa menjejaskan hak Bursa Securities untuk menggantung dagangan sekuriti tersenarai dan menyahsenarai syarikat sekiranya gagal menyerahkan pelan pemulihan pada atau sebelum 25 Mac 2026 serta mendapatkan kelulusan bagi pelaksanaannya.
Meridian dikategorikan sebagai syarikat PN17 selepas juruaudit luarnya ketika itu, Jamal, Amin & Partners mengeluarkan penafian pendapat terhadap penyata kewangan beraudit bagi tempoh 15 bulan berakhir 30 September 2023.
Juruaudit berkenaan menyatakan sebab penafian tersebut termasuk kerugian bersih terkumpul sebanyak RM108.24 juta dalam tempoh tiga tahun, liabiliti melebihi aset, rizab tunai yang berkurangan, pelanggaran had overdraf, inventori yang dicagar, serta tunggakan cukai yang telah mencetuskan tindakan undang-undang oleh pihak berkuasa cukai.
Awal bulan ini, juruaudit luar semasa syarikat itu, Morison LC PLT turut mengeluarkan penafian pendapat terhadap akaun kewangan bagi tahun berakhir 31 Mei 2025 disebabkan masalah kewangan serius, termasuk rekod yang hilang sehingga menghalang pengesahan baki pembukaan.
Juruaudit itu berkata, syarikat gagal menyediakan rekod perakaunan asas dan dokumen sokongan penting yang diperlukan untuk prosedur audit.
Rekod yang hilang termasuk yang diperlukan untuk mengesahkan baki pembukaan aset, liabiliti, ekuiti, pendapatan dan perbelanjaan, serta menilai maklumat perbandingan yang dibentangkan.
Morison turut menegaskan kerugian berterusan dan tahap hutang yang tinggi menimbulkan keraguan terhadap kemampuan syarikat untuk terus beroperasi.
Syarikat itu dilaporkan mencatat kerugian bersih sebanyak RM57.2 juta di peringkat kumpulan dan RM1.45 juta di peringkat syarikat bagi tahun kewangan 2025, dengan jumlah pinjaman dan hutang melebihi RM45 juta.
Pada Jun lalu, Bursa Securities telah menegur Meridian dan mengenakan denda keseluruhan sebanyak RM350,000 terhadap lima pengarahnya kerana gagal mendedahkan dengan segera bahawa syarikat itu mempunyai aktiviti perniagaan yang minimum.- DagangNews.com








