KUALA LUMPUR 8 Sept – Penganalisis ekonomi menjangkakan langkah sokongan bersasar akan menjadi pendekatan yang lebih sesuai untuk membantu industri menghadapi ketidaktentuan luaran, berbanding pelarasan berterusan ke atas Kadar Dasar Semalaman (OPR).
Menurut MBSB Research, daripada terus membuat penyesuaian terhadap kadar OPR bagi baki tahun ini, pelaksanaan langkah sokongan khusus kepada industri yang terdedah kepada risiko luaran adalah lebih berkesan.
“Kami percaya pendekatan yang lebih sesuai adalah dengan melaksanakan sokongan bersasar terhadap industri tertentu yang terkesan secara langsung oleh ketidaktentuan luaran, dan bukannya terus melaraskan OPR,” kata firma penyelidikan itu.
Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini mengekalkan kadar OPR pada 2.75% dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC), dengan menyatakan bahawa kadar semasa kekal sesuai dan menyokong pertumbuhan ekonomi.
MBSB Research menyifatkan keputusan itu sejajar dengan jangkaan pasaran, sambil memetik bahawa petunjuk semasa menunjukkan pertumbuhan global terus berkembang dipacu oleh perbelanjaan pengguna dan aktiviti ekonomi yang didahulukan (front-loading).
Walau bagaimanapun, BNM kekal berhati-hati terhadap risiko global, termasuk kemungkinan pengenaan tarif tambahan pada peringkat produk, serta ketegangan geopolitik yang masih berlarutan.
Menurut MBSB Research, faktor-faktor ini berpotensi menyumbang kepada peningkatan volatiliti dalam pasaran kewangan global dan harga komoditi.
“Sentimen pasaran global yang baru pulih daripada tekanan tarif disokong oleh keyakinan terhadap rundingan perdagangan baharu dan pengurangan ketidaktentuan geopolitik,” jelas firma itu.
Perkembangan positif ini turut disokong oleh keputusan Amerika Syarikat untuk mengenakan kadar tarif lebih rendah sebanyak 19% terhadap eksport Malaysia, yang dijangka membantu Malaysia kekal berdaya saing di rantau ini.
Namun begitu, MBSB Research tetap mengekalkan pandangan berhati-hati memandangkan prospek kestabilan pasaran masih tidak menentu.
Sementara itu, CIMB Research berkata keputusan untuk mengekalkan OPR pada 2.75% memberi isyarat bahawa dasar monetari masih cukup akomodatif, dan membolehkan BNM menilai impak penuh daripada pemotongan kadar 25 mata asas pada Julai lalu.
“BNM menekankan ketahanan petunjuk makroekonomi seperti KDNK yang kekal pada 4.4% YoY pada suku kedua 2025 serta pertumbuhan eksport sebanyak 6.8% YoY pada Julai,” kata CIMB Research.
Menurutnya lagi, mesyuarat MPC kali ini membawa nada yang lebih membina dengan tidak lagi menyebut keperluan ‘front-loading’, seiring dengan penurunan ketidaktentuan selepas rundingan tarif diselesaikan.
CIMB menegaskan pendekatan dasar monetari kini lebih bergantung kepada data, dengan permintaan domestik dijangka terus disokong oleh pasaran buruh yang stabil, pertumbuhan gaji yang sihat serta langkah fiskal yang dilaksanakan.
BNM juga menegaskan bahawa tekanan inflasi kekal sederhana sehingga 2026, memberikan ruang kepada pelonggaran dasar jika keadaan memerlukan.
“Kami menjangka OPR akan kekal pada 2.75% sehingga akhir tahun ini, namun potensi pengurangan tambahan tidak boleh diketepikan sekiranya perdagangan global terus lemah dan pertumbuhan KDNK jatuh di bawah julat unjuran BNM iaitu 4% hingga 4.8%,” menurut CIMB Research.
Dalam pada itu, Maybank Investment Bank Research (Maybank IB) berpandangan BNM telah membuat penilaian seimbang terhadap prospek ekonomi global dalam mesyuarat MPC terbaharu.
Walaupun mengakui risiko berterusan terutama daripada ketidaktentuan tarif, khususnya pada produk semikonduktor, Maybank IB menyatakan bahawa pertumbuhan global masih disokong oleh dasar fiskal dan monetari yang lebih longgar.
“Prestasi pertumbuhan KDNK sebenar Malaysia sebanyak 4.4% pada separuh pertama 2025 memberikan keyakinan kepada BNM bahawa ekonomi masih berada di landasan untuk mencapai unjuran terkini iaitu antara 4.0% hingga 4.8%, berbanding unjuran awal 4.5% hingga 5.5%," katanya.
BNM turut menjangkakan inflasi keseluruhan kekal sederhana pada tahun ini dan tahun depan, dengan impak daripada pembaharuan dasar domestik terhadap harga dijangka dapat dikawal.
Hal ini turut tercermin melalui semakan turun kadar unjuran inflasi rasmi 2025 kepada 1.5%–2.3% daripada 2.0%–3.5% sebelum ini.
“Inflasi teras dijangka kekal stabil sekitar purata jangka panjang, memandangkan tiada tekanan permintaan yang berlebihan setakat ini,” kata Maybank IB. - DagangNews.com








