KUALA LUMPUR 13 Nov - REV Media Group Sdn Bhd, anak syarikat media digital milik penuh Media Prima Bhd, telah melengkapkan pengambilalihan penuh terhadap The Vocket Sdn Bhd, sekali gus membawa platform gaya hidup dan budaya berbahasa Melayu itu sepenuhnya di bawah kumpulannya.
REV Media kini mengurus lebih 30 jenama digital merentasi bahasa Melayu, Inggeris dan Cina, dengan capaian melebihi 10 juta pengguna unik setiap bulan.
Dalam kenyataan pada Khamis, syarikat itu berkata ia telah memperoleh baki 48% pegangan ekuiti dalam Vocket selepas sebelum ini memiliki pegangan majoriti sebanyak 52%. Butiran kewangan transaksi terbaharu itu tidak didedahkan.
Langkah ini dilakukan lebih enam tahun selepas Media Prima mula berusaha untuk menguasai Vocket. Pada Julai 2019, Media Prima mengumumkan bahawa unit milik penuhnya secara tidak langsung, Rev Asia Holdings Sdn Bhd, akan meneruskan pembelian 52% pegangan dalam Vocket bernilai RM2.6 juta, selepas perjanjian awal pada Jun 2018 terpaksa dibatalkan akibat isu perundangan.
Ketika itu, kumpulan berkenaan menyatakan bahawa pengambilalihan tersebut akan menyokong pelan transformasi digitalnya dengan memperluas capaian dalam segmen berita digital Bahasa Melayu yang pesat berkembang.
REV Media berkata Vocket telah mencatatkan pertumbuhan dari segi jumlah pembaca dan penglibatan antara tahun 2024 hingga 2025, dengan 1.4 juta pembaca unik, 68.5 juta tontonan halaman bulanan serta lebih 758,000 pengikut di pelbagai platform media sosial.
Majoriti audiensnya terdiri daripada golongan lelaki dan tertumpu dalam demografi milenial, khususnya pembaca berusia 25 hingga 44 tahun.
Ketua Pegawai Eksekutif REV Media, Samuel Wee berkata pemilikan penuh ini membolehkan kumpulan mempercepatkan lagi pengembangan Vocket.
“Vocket telah membuktikan potensi besar serta pengaruh kukuhnya dalam kalangan milenial dan pasaran Gen Z yang sedang berkembang. Dengan pemilikan penuh, kami kini bersedia mempercepatkan pertumbuhannya secara eksponen dan bersama-sama menetapkan penanda aras baharu dalam penerbitan serta kandungan digital bagi memperluas lagi bahagian pasaran kami di seluruh negara,” katanya.
Pengasas Vocket, Mohd Fazreen Jasni, menyifatkan langkah itu sebagai “bab baharu” buat platform berkenaan, sambil menambah bahawa beliau kini akan mengambil langkah ke belakang untuk memberi tumpuan kepada urusan peribadi sementara jenama itu meneruskan pengembangan digitalnya.
“Sebagai ‘Viral in Your Pocket’, misi kami ialah menyampaikan idea-idea segar dan berani yang mampu menghubungkan pembaca daripada pelbagai latar belakang kaum, ekonomi dan sosial. Saya percaya kami kini berada pada kedudukan yang lebih kukuh berbanding sebelum ini. Ini bukan sekadar bab seterusnya Vocket, tetapi permulaan kepada perbualan lebih berani bersama Malaysia,” katanya. - DagangNews.com








