KUALA LUMPUR 8 Julai – MEASAT Global Berhad (MEASAT), syarikat Malaysia yang menyediakan perkhidmatan berkaitan teknologi satelit dan angkasa, berjaya mendapat kelulusan rasmi daripada pihak berkuasa angkasa India, iaitu Indian National Space Promotion and Authorisation Centre (IN-SPACe), untuk menawarkan perkhidmatan satelit di negara itu.
Kelulusan itu membolehkan MEASAT beroperasi secara sah di India dan akan menjalankan kerjasama dengan syarikat milik kerajaan, NewSpace India Limited (NSIL) untuk tujuan tersebut.
Ketua Pegawai Operasi MEASAT, Yau Chyong Lim berkata, kepakaran NSIL dalam pasaran India memberi kelebihan kepada MEASAT untuk memanfaatkan keupayaan dan armada satelitnya bagi memenuhi keperluan pelanggan.
"Kami yakin rangkaian perkhidmatan MEASAT berpotensi besar untuk berkembang di rantau ini terutama dalam bidang penyiaran dan merapatkan jurang komunikasi luar bandar," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Satu majlis menandatangani perjanjian pelantikan NSIL sebagai rakan tempatan MEASAT juga telah diadakan di Bengaluru dengan dihadiri Chyong Lim dan Pengerusi merangkap Pengarah Urusan NSIL, Radhakrishnan Durairaj.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Komersial MEASAT, Ganendra Selvaraj serta Pengarah Strategi dan Teknikal NSIL, A Arunachalam.
NSIL ialah syarikat milik kerajaan di bawah Jabatan Angkasa India yang berperanan sebagai pemilik dan pengendali satelit, selain menawarkan produk dan perkhidmatan berasaskan angkasa kepada pengguna sektor kerajaan dan swasta.
Ia turut terlibat dalam memperluas capaian teknologi angkasa India kepada pelanggan global dan memacu pertumbuhan industri angkasa tempatan.
Melalui NSIL, MEASAT menawarkan kapasiti satelit kepada pengendali TV berbayar dan penyiar di pasaran India, yang kini mengedarkan lebih 600 saluran TV kepada lebih 11 juta pelanggan Direct-to-Home (DTH), selain menyokong penyaluran kandungan video ke Asia, Australia, Afrika dan Eropah Selatan. - DagangNews.com








