MEASAT lantik John Loke sebagai Ketua Pegawai Teknologi baharu berkuat kuasa 1 April 2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MEASAT lantik John Loke sebagai Ketua Pegawai Teknologi baharu berkuat kuasa 1 April 2026

John Loke
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 1 April – MEASAT Global  penyedia teknologi angkasa di Malaysia melantik John Loke sebagai Ketua Pegawai Teknologi baharu berkuat kuasa 1 April 2026.

 

Dalam satu kenyataan, syarikat itu memaklumkan John akan memacu pelan inovasi MEASAT serta menyokong pertumbuhan jangka panjang syarikat.

 

“Sebagai Ketua Pegawai Teknologi, John akan mengetuai evolusi digital MEASAT dan strategi serantau, dengan fokus kepada penyelesaian berasaskan kecerdasan buatan dan strategi pelbagai orbit.

 

“Beliau turut memimpin bahagian Kejuruteraan Satelit dan Rangkaian, Teknologi Maklumat dan Transformasi Digital, serta bertanggungjawab terhadap aspek teknikal perolehan dan pelancaran satelit,” menurut makluman tersebut.

 

John membawa pengalaman luas setelah berkhidmat di MEASAT selama lebih 10 tahun dalam pelbagai jawatan tinggi, termasuk Naib Presiden Kejuruteraan dan Operasi Rangkaian serta Kejuruteraan Pelanggan.

 

Beliau memainkan peranan penting dalam kejayaan projek seperti MEASAT 3a, MEASAT 3b dan CONNECTme, yang menjadi asas kedudukan MEASAT sebagai peneraju pasaran dalam penyelesaian satelit.

 

Sebelum kembali ke MEASAT, John merupakan Ketua Pegawai Teknologi bagi sebuah syarikat satelit di Singapura, di mana beliau mengetuai penyediaan perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi di seluruh rantau Asia Pasifik.

 

Kerjaya beliau bermula di Singapore Telecommunications Ltd (SingTel), sebagai sebahagian daripada pasukan pelancaran operasi ST-1, pengalaman yang memberinya asas kukuh dalam industri satelit.

 

MEASAT beroperasi dari orbit 91.5°E dan menyediakan saluran televisyen terus ke rumah kepada lebih 20 juta penonton di rantau ini. Selain itu, syarikat menawarkan perkhidmatan rangkaian korporat, jalur lebar berkelajuan tinggi, dan rangkaian sokongan mudah alih untuk sektor kerajaan, telekomunikasi, maritim serta minyak dan gas.

 

Perkhidmatan CONNECTme telah menghubungkan lebih 500,000 rakyat Malaysia di kawasan luar bandar. MEASAT juga merupakan penjual sah Starlink dan telah menerima pengiktirafan antarabangsa, termasuk anugerah Operator Teleport Hibrid Terbaik 2025 dan tiga kali berturut-turut Operator Satelit Serantau Terbaik oleh Novaspace. - DagangNews.com