KUALA LUMPUR 8 April - Seramai 22 individu telah dipanggil bagi membantu siasatan penyebaran berita palsu di media sosial dan platform digital yang dikaitkan dengan krisis tenaga global.
Dalam kenyataan hari ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata, sebanyak 36 kertas siasatan telah dibuka.
“Daripada jumlah itu, enam kertas siasatan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk penelitian dan tindakan selanjutnya,” kata kenyataan itu.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
MCMC menegaskan pihaknya memandang serius sebarang penyalahgunaan platform media sosial dan media digital yang bertujuan mengelirukan orang ramai melalui penyebaran maklumat tidak sahih.
“Tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang sedia ada,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai diingatkan supaya menggunakan platform komunikasi secara bertanggungjawab dan tidak menyebarkan kandungan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat serta ketenteraman awam. - DagangNews.com








