KUALA LUMPUR 3 April – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menjalankan siasatan terhadap 17 individu yang disyaki menyebarkan maklumat palsu mengenai kenaikan harga bahan api dan tarif baharu elektrik di media sosial.
Sehingga kini, sebanyak lapan rakaman percakapan suspek telah selesai diambil, termasuk lima kes berkaitan hantaran palsu mengenai isu kenaikan harga bahan api.
MCMC dalam satu kenyataan memaklumkan, daripada lima kes tersebut, tiga suspek telah dirakam percakapan sebelum ini, manakala baki dua lagi diselesaikan semalam.
“Selain itu, terdapat tiga kes berkaitan tarif baharu elektrik yang turut dalam proses siasatan.
“Baki sembilan suspek lagi sedang dipantau dan dijangka akan dipanggil untuk rakaman percakapan dalam masa terdekat,” katanya.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabit kesalahan.
MCMC berkata penyebaran maklumat palsu di media sosial adalah perkara serius kerana ia boleh mengelirukan orang ramai dan menimbulkan suasana panik serta kegelisahan.
Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang berkenaan, kata pihak MCMC.
Orang ramai dinasihatkan supaya mendapatkan maklumat daripada sumber sahih sebelum menyebarkan sebarang berita berkaitan harga bahan api dan tarif elektrik bagi mengelakkan sebarang kekeliruan. - DagangNews.com








