MCMC mulakan rundingan awam mengenai Cadangan Kerangka Peraturan Tangani "Spam" | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MCMC mulakan rundingan awam mengenai Cadangan Kerangka Peraturan Tangani "Spam"

Oleh Mohamad Iman

PUTRAJAYA 13 Ogos - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini memulakan Rundingan Awam selama dua minggu mengenai cadangan Kerangka Peraturan bagi Pesanan Elektronik Komersial Tidak Diingini (UCEM) atau lebih dikenali spam.

 

Menurut MCMC, inisiatif berkenaan selaras dengan Seksyen 233A Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang diperkenalkan melalui pindaan perundangan yang diwartakan pada Februari tahun ini.

 

“Kerangka peraturan berkenaan bertujuan memperkukuh perlindungan pengguna, menggalakkan amalan pemasaran digital lebih selamat dan dipercayai.

 

“Selaras dengan peruntukan baharu itu, MCMC sedang merangka perundangan subsidiari bagi mewujudkan struktur kawal selia yang jelas, utuh dan berkesan untuk menangani peningkatan penghantaran UCEM,” menurut kenyataan MCMC.

 

MCMC berkata, Rundingan Awam itu mengundang maklum balas pelbagai pihak berkepentingan termasuk pemain industri, pertubuhan masyarakat sivil, kumpulan pengguna, pembuat dasar dan orang awam.

 

Justeru, MCMC menjemput semua pihak untuk meneliti dokumen rundingan dan mengemukakan pandangan terhadap pendekatan kawal selia yang dicadangkan sepanjang tempoh rundingan berlangsung pada 13 hingga 5 petang, 27 Ogos ini.

 

“Inisiatif ini mencerminkan komitmen MCMC terhadap proses pembentukan dasar yang telus, inklusif, konsultatif dan berasaskan bukti,” menurut kenyataan itu.

 

Orang ramai boleh melayari https://www.mcmc.gov.my/en/media/announcements/publicconsultation-on-unsolicited-commercial-ele untuk maklumat lanjut dan mengakses dokumen rundingan. - DagangNews.com