MCMC dapat perintah injunksi halang Telegram siar kandungan memudaratkan, tutup saluran Edisi Siasat, Edisi Khas | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MCMC dapat perintah injunksi halang Telegram siar kandungan memudaratkan, tutup saluran Edisi Siasat, Edisi Khas

Oleh Hamden Ramli

KUALA LUMPUR 31 Okt - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Injunksi Erinford yang difailkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung tindakan sivil terhadap platform Telegram, sementara menunggu pendengaran rayuan interlokutori MCMC di Mahkamah Rayuan.

 

Dalam kenyataan hari ini MCMC berkata, keputusan ini merupakan langkah penting dalam usaha berterusan MCMC memastikan ekosistem digital negara kekal selamat, bertanggungjawab serta selaras dengan kepentingan awam.

 

 

 

 

 

 

Melalui keputusan tersebut, mahkamah membenarkan Injunksi Erinford bagi melarang penyiaran kandungan yang memudaratkan seperti yang dinyatakan dalam Pernyataan Tuntutan MCMC, termasuk apa-apa kandungan lain yang mempunyai ciri atau kesan serupa. 

 

Mahkamah turut memerintahkan penutupan sepenuhnya saluran “Edisi Siasat” dan “Edisi Khas” serta mana-mana saluran lain yang mempunyai persamaan dari segi kandungan atau modus operandi.

 

Perintah Injunksi Erinford ini bertujuan mengelakkan penyebaran kandungan palsu, mengelirukan, menghasut serta bahan yang boleh menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap institusi awam negara melalui saluran-saluran di platform tersebut.

 

Dalam keputusannya, mahkamah menegaskan kepentingan awam mengatasi kepentingan peribadi.

 

 

 

 

 

 

"Keseimbangan keadilan jelas berpihak kepada MCMC memandangkan kemudaratan kepada pihak Telegram adalah minimum berbanding potensi kesan negatif terhadap institusi negara dan ketenteraman awam sekiranya kandungan sedemikian terus disiarkan," kata kenyataan itu.

 

Mahkamah turut mengingatkan penyedia platform luar negara seperti Telegram, walaupun mungkin tidak memahami sepenuhnya struktur sosial dan budaya unik Malaysia, hendaklah sentiasa peka serta menghormati konteks perlembagaan dan sosial negara ini. - DagangNews.com